Jumaat, 15 November 2019 | 11:06pm
Penyerang bersenjata melancarkan serangan waktu malam ke atas perkampungan Peh berhampiran sempadan dengan Burkina Faso dalam rantau Mopti, menembak penduduk kampung dan membakar jelapang. -Foto Agensi

20 penduduk kampung Mali maut diserang

BAMAKO: Sekurang-kurangnya 20 orang ditemui maut selepas serangan ke atas perkampungan Fulani di tengah Mali di mana keganasan masyarakat memuncak sejak beberapa bulan lalu, kata kerajaan hari ini.

Serangan Rabu lalu diikuti siri pertembungan maut antara penternak dan petani etnik Dogon yang sekian lama berjuang mendapatkan tanah dan sumber.

Namun penduduk Fulani semakin menjadi sasaran kerana dakwaan kaitan mereka dengan kumpulan bersenjata Islam di Sahel.

Penyerang bersenjata melancarkan serangan waktu malam ke atas perkampungan Peh berhampiran sempadan dengan Burkina Faso dalam rantau Mopti, menembak penduduk kampung dan membakar jelapang.

“Penyerang, berpakaian pemburu tradisional datang dari perkampungan bersebelahan di Burkinabe di Tongo,” kata jurucakap kerajaan Yaya Sangare.

Katanya, penyerang terpaksa berundur dan melepaskan haiwan ternakan dicuri selepas pasukan bersenjata Mali campur tangan.

“Unit peronda ketika ini memeriksa kawasan untuk memburu penyerang,” kata Sangare. -Reuters

Berita Harian X