Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:08pm
Seorang ibu Kenya menyuapkan anaknya dengan susu yang didermakan oleh bank susu di Hospital Bersalin Pumwani di Nairobi. - Foto REUTERS

Kenya lancar bank susu ibu pertama bantu bayi baru lahir

NAIROBI: Kerajaan Kenya melancarkan bank susu ibu pertama di negara itu bagi wanita yang berhasrat mendermakan susu mereka untuk membantu ibu yang tidak dapat menyusukan bayi yang baru dilahirkan.

Enam bulan lalu, Kementerian Kesihatan dan Pusat Penyelidikan Penduduk dan Kesihatan Afrika (APHRC) menubuhkan bank susu pertama di Hospital Bersalin Pumwani di Nairobi.

Jurucakap kementerian itu, Elizabeth Kimani-Murage berkata, projek itu sebagai perintis untuk melihat jika terdapat mana-mana bank susu ibu yang sama dapat ditubuhkan di tempat lain di negara itu.

Ketua jururawat hospital terbabit, Faith Njeru berkata, setakat ini, seramai 75 bayi menerima susu ibu daripada 400 penderma.

Katanya, ramai dikalangan ibu-ibu tidak dapat menyusukan bayi mereka atas sebab tidak dapat hadir, sakit, tidak boleh mengeluarkan susu atau masalah penyalahgunaan bahan-bahan.

Tambahnya, beliau dan pasukannya terlebih dulu memberikan pendekatan yang selesa kepada orang ramai mengenai idea mendermakan susu ibu itu.

Njeru berkata, sebelum ini terdapat bank yang sama di Afrika Selatan, Mozambique, dan Cape Verde, namun penduduk Kenya belum pernah mendengar idea seumpama itu.-Reuters.

Berita Harian X