Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:12am
Pesawat Ethiopian Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas beberapa minit sejurus berlepas di Senegal semalam kerana enjin terbakar, kata jurucakap lapangan terbang.

Enjin terbakar, Ethiopian Airlines mendarat cemas di Senegal

DAKAR: Pesawat Ethiopian Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas beberapa minit sejurus berlepas di Senegal semalam kerana enjin terbakar, kata jurucakap lapangan terbang.

Tiada seorang pun daripada 90 penumpang atau kru cedera, kata Tidiane Tamba.

Syarikat penerbangan mengesahkan di Twitter bahawa pesawat Boeing 767 terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Blaise Diagne berhampiran Dakar kerana masalah teknikal tanpa memberikan butiran lanjut mengenai punca kejadian.

Ia berkata, semua penumpang menempah semula pesawat lain.

Gambar yang disiarkan dalam akaun Twitter rasmi lapangan terbang menunjukkan pasukan bomba dan kakitangan lapangan terbang bergambar bersebelahan enjin kapal terbang yang rentung.

Tujuh bulan lalu, penerbangan 302 Ethiopian Airlines, terjunam ke dalam ladang di luar Addis Ababa beberapa minit sejurus berlepas, menyebabkan 157 penumpang dan anak kapal maut.

Kejadian menyebabkan perbahasan global mengenai keselamatan model baharu Boeing 737 MAX yang juga terhempas beberapa bulan sebelum itu di Indonesia.

Kedua-dua nahas mengorbankan 346 nyawa. —Reuters

Berita Harian X