Isnin, 23 September 2019 | 4:18pm

WHO umum vaksin kedua Ebola di Congo bulan depan

GENEVA: Republik Demokratik Congo (DRC) akan memperkenalkan vaksin kedua untuk virus Ebola bulan depan bagi menangani wabak yang membunuh lebih 2,100 orang di negara itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman dibuat tatkala kumpulan bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menuduh WHO mencatu vaksin pertama virus itu di DRC.

“Pihak berkuasa kesihatan di DRC sudah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan vaksin percubaan kedua Ebola yang dihasilkan oleh Johnson & Johnson pada pertengahan Oktober ini.

“Jadi, vaksin diberikan sebanyak dua dos, selama 56 hari akan disediakan di bawah protokol yang diluluskan untuk disasarkan di kawasan penduduk berisiko dan tidak mempunyai penyebaran aktif selain alat tambahan untuk melanjutkan perlindungan terhadap virus itu,” kata WHO menerusi kenyataan.

Pengarah Serantau WHO di Afrika, Matshidiso Moeti berkata, vaksin kedua itu ‘akan membantu memastikan kami mempunyai potensi dan peralatan tambahan bagi mengekang penyebaran wabak dan melindungi penduduk sebelum ia merebak ke kawasan yang lebih berisiko.

Virus Ebola yang sedang berlaku ketika ini adalah wabak kedua paling teruk dalam sejarah selepas lebih 11,000 orang terbunuh di Guinea, Sierra Leone dan Liberia antara tahun 2014 dan 2016.

WHO berkata, sejak 17 September lalu, DRC mencatatkan kira-kira 3,145 kes wabak Ebola sejak ia menular lebih setahun lalu termasuk 2,103 kes kematian. -AFP.

Berita Harian X