Sabtu, 14 September 2019 | 11:56am
Tugu peringatan wira di Harare. Foto EPA

Mugabe dikebumi di tugu peringatan wira, bulan depan

HARARE: Keluarga bekas pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe dan kerajaan, akhirnya mencapai kata sepakat semalam, apabila bersetuju supaya mayat mendiang dikebumikan di tugu peringatan bagi wira negara di sini, bulan depan.

Mugabe meninggal dunia di Singapura minggu lalu, pada usia 95 tahun tetapi berita kematiannya menyebabkan perbalahan dalam kalangan rakyat Zimbabwe.

Sebahagian rakyat mengingatinya sebagai wira menentang penjajahan dan memerdekakan negara itu, manakala sebahagian lagi mengutuk pemerintahan kuku besi Mugabe selama 37 tahun, yang berakhir dengan rampasan kuasa pada 2017.

Keluarga Mugabe dan Presiden Emmerson Mnangagwa, yang juga sekutu rapatnya sebelum berpaling tadah, dilaporkan berbalah mengenai lokasi pengebumian bekas diktator itu, selepas mayatnya tiba dari Singapura, Rabu lalu.

Namun, akhirnya, semalam, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengebumikan mayat Mugabe di tugu peringatan wira kebangsaan.

Bagaimanapun, majlis pengebumian akan hanya diadakan dalam tempoh 30 hari, iaitu selepas sebuah makam baharu disiapkan untuk Mugabe.

“Kerajaan, semua ketua dan pemimpin tradisi sudah mengunjungi tugu peringatan itu dan mereka sudah dimaklumkan mengenai lokasi Presiden Mugabe akan dikebumikan, dan ia akan mengambil masa selama 30 hari untuk disiapkan,” kata anak saudaranya, Leo Mugabe. - AFP

Berita Harian X