Isnin, 9 September 2019 | 9:14pm
ANGGOTA keselamatan menjalankan operasi mencari mayat mangsa kemalangan bas yang terbalik di kawasan lembah berhampiran bandar Errachidia. - Foto AFP

17 maut, banjir punca bas terbalik

RABAT: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh apabila banjir menyebabkan bas yang dinaiki terbalik di kawasan selatan Maghribi, kata pihak berkuasa, hari ini.

Katanya, pasukan penyelamat sedang mencari mayat mangsa selepas bas malang itu terbalik di atas jambatan di kawasan lembah berhampiran bandar Errachidia, ketika kemalangan berlaku semalam.

Seramai 29 penumpang yang mengalami pelbagai jenis kecederaan berada dalam keadaan stabil berjaya dibawa ke hospital di Errachidia.

Ketika ini pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Maghribi dilanda ribut ganas sepanjang musim panas tahun ini, menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan pergunungan.

Pada akhir Ogos lalu, banjir melanda kawasan pada bola sepak mengorbankan lapan orang di kawasan selatan Taroudant.

Sementara pada Julai lalu, 15 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat banjir kilat di kawasan selatan Marrakesh.

Banjir kilat kerap melanda negara di Afrika Utara. Pada 2014, bencana alam sama mengorbankan kira-kira 50 orang. - AFP

Berita Harian X