Isnin, 26 Ogos 2019 | 1:28am

62 maut banjir kilat di Sudan

KHARTOUM: Hujan lebat dan banjir kilat mengorbankan 62 orang dan mengakibatkan 98 mangsa lain cedera di Sudan, lapor agensi berita SUNA, semalam.

Sudan dilanda hujan lebat, sejak awal Julai, ia menjejaskan hampir 200,000 orang di sekurang-kurangnya 15 negeri di seluruh negara itu termasuk ibu negara Khartoum.

“Banjir di sungai Nil kekal menjadi masalah terbesar,” kata SUNA memetik seorang pegawai kementerian kesihatan.

Jumaat lalu sahaja, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memaklumkan 54 orang maut akibat hujan lebat. Katanya, lebih 37,000 kediaman musnah atau rosak berdasarkan data badan kerajaan negara itu.

“Kemanusiaan terancam dengan lebih banyak kemungkinan banjir kilat,” kata PBB sambil menambah musim hujan dijangka berterusan sehingga Oktober depan. - AFP

Berita Harian X