Jumaat, 12 Julai 2019 | 1:05pm
JENERAL Jamal Omar. - Foto AFP

Majlis tentera gagalkan cubaan rampasan kuasa

KHARTOUM : Pemerintah tentera Sudan berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa, umum jeneral kanan menerusi stesen televisyen rasmi semalam dan mengesahkan penahanan 12 pegawai serta empat anggota tentera.

Pengumuman itu dibuat ketika pemerintah tentera dan penunjuk perasaan minggu lalu bersetuju untuk mengakhiri kemelut politik selepas penyingkiran pemerintah kuku besi, Omar Al Bashir pada April lalu.

“Pegawai dan anggota tentera serta beberapa individu lagi dari Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Nasional, sebahagian daripada mereka sudah bersara cuba melaksanakan rampasan kuasa.

“Cubaan itu berjaya dipatahkan,” kata Jeneral Jamal Omar dari majlis pemerintah dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen rasmi.

Menurut Omar, 12 pegawai ditahan dengan lima daripada mereka sudah bersara dan pasukan keselamatan sedang mencari dalang utama rampasan kuasa itu.

“Ini ialah cubaan untuk menghalang perjanjian yang berjaya dicapai oleh Majlis Peralihan Tentera bersama Gerakan Perubahan dan Kemerdekaan yang disasarkan untuk membuka jalan buat penduduk Sudan mencapai hasrat mereka,” katanya.

Pengumuman berkenaan dibuat lewat malam tadi ketika semua jeneral dan ketua penunjuk perasaan sedang meneliti kandungan perjanjian di sebuah hotel mewah di Khartoum. - AFP

Berita Harian X