Ahad, 23 Jun 2019 | 9:45am
Penyokong timbalan ketua majlis tentera dan ketua Pasukan Sokongan Pantas (RSF), Leftenan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, mengibarkan bendera Sudan di Khartoum, semalam. -Foto Reuters

Penunjuk perasaan Sudan terima cadangan Habsyah

KHARTOUM: Pemimpin bantahan Sudan berkata semalam, mereka menerima penubuhan sebuah badan pentadbiran yang majoritinya dianggotai orang awam untuk satu peralihan politik di negara itu seperti mana dicadangkan wakil Habsyah.

Mereka berkata, pelan tindakan yang dipersetujui itu mencadangkan penubuhan badan pentadbiran 15 anggota terdiri daripada lapan orang awam dan tujuh anggota tentera.

Majlis pemerintah tentera masih belum memberi keputusan berhubung cadangan Habsyah itu.


Timbalan ketua majlis tentera dan ketua Pasukan Sokongan Pantas Sudan (RSF), Leftenan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, bermesra dengan penyokongnya ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat di perkampungan Aprag, sejauh 60 kilometer dari Khartoum. -Foto Reuters

Sudan berpecah belah akibat ketegangan antara pemimpin bantahan dan jeneral tentera, yang merampas kuasa selepas menyingkirkan Presiden Omar al-Bashir April lalu dan situasi bertambah buruk selepas tindakan keras berdarah ke atas penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan awam.

“Kami beranggapan penerimaan kami terhadap cadangan itu adalah lonjakan besar bagi memenuhi matlamat revolusi, iaitu kebebasan, keamanan dan keadilan.

“Ia akan meletakkan negara ke landasan betul mewujudkan tempoh peralihan yang akan menjurus demokrasi mapan,” kata pemimpin bantahan Babiber Faisal kepada media dalam kenyataan ringkas.

Daripada lapan orang awam, tujuh akan diwakili pergerakan payung bantahan, Pakatan Kebebasan dan Perubahan, kata seorang lagi pemimpin bantahan Amjad Farid.

Habsyah memperhebat usaha menyelesaikan krisis politik di Sudan sejak penyuraian berdarah 3 Jun lalu ke atas kem bantahan panjang di luar ibu pejabat tentera di sini.

Tindakan keras itu dijalankan anggota tentera mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang dan mencederakan ratusan lain, kata doktor yang menganggotai pergerakan bantahan.

Kementerian Kesihatan meletakkan angka kematian 3 Jun lalu berjumlah 61 orang. -AFP

Berita Harian X