Rabu, 19 Jun 2019 | 7:54am

38 maut serangan ke atas dua perkampungan etnik Mali

BAMAKO : Seramai 38 orang maut dan puluhan lagi cedera dalam serangan ke atas dua perkampungan etnik Dogon di tengah Mali, kata kerajaan semalam, dalam siri keganasan terbaharu di negara itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam insiden Isnin lalu namun Mali pada tahun ini dicemari kes pembunuhan beramai-ramai membabitkan etnik Dogon dan komuniti Fulani.

“Serangan pengganas pada petang Isnin itu disasarkan kepada perkampungan Gangafani dan Yoro, tidak jauh dari sempadan Burkina Faso. Jumlah kematian rasmi ialah 38 orang dan ramai lagi tercedera.

“Pasukan keselamatan dan pertahanan sudah dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu melindungi penduduk setempat dan harta benda, selain menjejaki penyerang,” kata kerajaan Mali dalam satu kenyataan.

Pegawai komuniti setempat, Goundjou Poudiougou berkata, puluhan mayat ditemui di kedua-dua perkampungan itu.

“Penyerang adalah pengganas kerana mereka membunuh dan melapah mayat serta membakar semua tanaman,” katanya.

Awal bulan ini, pembunuhan beramai-ramai di satu lagi perkampungan, Sobane Da meragut 35 nyawa dan menimbulkan ketakutan orang ramai.

“Kejadian kali ini sama seperti apa yang berlaku di Sobane Da iaitu orang ramai dan haiwan ternakan menjadi sasaran,” kata jurucakap persatuan Dogon Mali, Adama Dionko. - AFP

Berita Harian X