Ahad, 9 Jun 2019 | 10:03am
PERDANA Menteri abiy ahmed. - Foto AFP

Tentera Sudan tahan dua pemimpin pembangkang

KHARTOUM: Pasukan keselamatan Sudan menahan dua pemimpin utama pemberontak dan parti pembangkang, sehari selepas mereka bertemu dengan pemimpin Ethiopia ketika misi damai di Khartoum, kata sumber semalam.

Pemimpin serantau utama, Perdana Menteri Abiy Ahmed bertemu dengan wakil kedua-dua pihak Jumaat lalu dalam usaha menghidupkan semula rundingan di antara pemerintah tentera Sudan dan pemimpin penunjuk perasaan selepas tindakan keras tentera mengakibatkan berpuluh orang terbunuh di ibu negara itu minggu lalu.

Beliau bertemu dengan ahli politik pembangkang, Mohamed Esmat dan pemimpin pemberontak Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM-N), Ismail Jalab.

Pasukan keselamatan Sudan, kemudian menahan kedua-dua pemimpin itu tanpa sebarang sebab, kata pembantu mereka kepada AFP semalam.

Esmat ditahan Jumaat lalu sebaik selesai bermesyuarat dengan Abiy manakala Jalab ditahan di kediamannya awal semalam.

“Sekumpulan lelaki bersenjata tiba pada jam 3 pagi dan menahan Ismail Jalab tanpa sebarang sebab. Jurucakap SPLM-N, Mubarak Ardol turut ditahan,” kata pembantu Jalab, Rashid Anwar.

Penahanan Jalab dibuat beberapa hari selepas timbalan pemimpin SPLM-N, Yasir Arman ditahan di rumahnya di Khartoum.

Pemimpin kedua kumpulan pemberontak itu baru saja kembali ke Khartoum bulan lalu selepas hidup dalam buangan.

SPLM-N mula memimpin gerakan kebangkitan dikalangan etnik minoriti bukan Arab di negeri Blue Nile dan Kordofan Selatan sejak 2011.

Pemimpin tentera Sudan berikrar untuk mengakhirinya secara aman selepas menyingkirkan presiden kuku besi, Omar Al-Bashir April lalu. - AFP

Berita Harian X