Isnin, 3 Jun 2019 | 2:42pm
Seorang penunjuk perasaan berjalan melepasi tayar yang dibakar ketika anggota tentera Sudan cuba menyuraikan penunjuk perasaan yang enggan berganjak di luar ibu pejabat tentera di Khartoum. - Foto AFP

Tentera Sudan guna kekerasan surai penunjuk perasaan

KHARTOUM: Majlis pemerintah tentera Sudan hari ini menggunakan kekerasan bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang enggan berganjak di luar ibu pejabat tentera, kata saksi.

Tentera menyingkirkan presiden Omar al-Bashir April lalu selepas berbulan-bulan tunjuk perasaan berlangsung menentang pemerintahan kuku besi beliau termasuk duduk di hadapan ibu pejabat tentera di ibu negara Khartoum.

Ribuan lagi penunjuk perasaan terus berkhemah sambil menggesa pemimpin tentera untuk melepaskan kuasa dan dan memulakan peralihan pemerintahan.

“Tentera kini sedang menyuraikan penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera menggunakan kekerasan,” kata kumpulan yang menganjurkan protes di seluruh negara, sejak Disember lalu, Persatuan Profesional Sudan (SPA).

Seorang saksi di kejiranan Buri di timur Khartoum berkata beliau turut mendengar bunyi tembakan senjata api diikuti kepulan asap dari lokasi khemah penunjuk perasaan.

SPA berkata ia membawa kepada pertumpahan darah dan menyeru rakyat Sudan untuk terus menyertai ‘ketidakpatuhan awam sepenuhnya’ bagi menjatuhkan majlis tentera dengan memprotes di jalan raya. - AFP

Berita Harian X