Sabtu, 20 April 2019 | 10:42am
DOKTOR pakar wabak penyakit dihantar membantu menangani penularan Ebola dan terbunuh dalam serangan di Hospital Universiti Butembo.

Doktor terbabit tangani wabak Ebola maut ditembak

BUTEMBO (CONGO) : Seorang petugas terbabit dalam operasi memerangi penularan wabak Ebola di timur Butembo maut selepas ditembak semalam dalam satu serangan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut WHO, Dr. Richard Valery Mouzoko Kiboung, seorang pakar wabak penyakit dihantar membantu menangani penularan Ebola dan terbunuh dalam serangan di Hospital Universiti Butembo.

Dua lagi petugas turut tercedera namun dipercayai berada dalam keadaan stabil.

Ia adalah serangan terbaru ke atas petugas kesihatan terbabit menangani penularan wabak Ebola selama sembilan bulan yang sehingga kini meragut 850 nyawa.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan berkata, seluruh pertubuhan itu amat berdukacita dengan kematian Dr Mouzoko.

“Beliau meletakkan diri di barisan paling hadapan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Congo.

“Kami menangisi pemergian beliau, bersama-sama keluarga dan sahabat dalam waktu yang amat sukar ini,” katanya.

Polis dan pegawai tempatan berkata, mangsa adalah rakyat Cameroon. - AFP

Berita Harian X