Selasa, 16 April 2019 | 7:45am
Abdulhakim Dhuqub terbunuh Ahad lalu dalam satu serangan udara di sekitar Xiriiro. - Ihsan Air Force Times
Abdulhakim Dhuqub terbunuh Ahad lalu dalam satu serangan udara di sekitar Xiriiro. - Ihsan Air Force Times

Ketua kedua Daesh Somalia terbunuh dalam serangan udara AFRICOM

MOGADISHU: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kejayaan membunuh pemimpin kedua tertinggi militan Daesh di Somalia dalam satu serangan udara.

Pasukan Afrika AS (AFRICOM) mengesahkan Abdulhakim Dhuqub terbunuh Ahad lalu dalam satu serangan udara di sekitar Xiriiro, di Bari.

AFRICOM dalam satu kenyataan berkata, serangan udara terbabit bagaimanapun hanya mengorbankan Abdulhakim dan memusnahkan sebuah kenderaan.

“Abdulhakim bertanggungjawab untuk operasi harian militan, merancang serangan dan perolehan sumber,” kata kenyataan itu.

Militan Daesh wujud dalam jumlah kecil di Somalia berbanding penguasaan militan Al Shabaab yang memiliki kaitan dengan Al Qaeda.

“Kami akan meneruskan usaha kerjasama dengan rakan di Somalia untuk memberikan tekanan ke atas Al Shabaab dan jaringan pengganas Daesh - Somalia.

“Apabila strategi membenarkan, kami melancarkan serangan udara tepat ke atas sasaran yang terbabit merancang serangan ganas dan meletakkan rakyat Somalia dalam risiko,” kata pengarah AFRICOM, Mejar Jeneral Gregg Olson.

Pada akhir 2018, tentera AS menganggarkan terdapat 75 hingga 250 anggota Daesh di Somalia, berbanding 3,000 hingga 7,000 anggota militan Al Shabab. - AFP

Berita Harian X