Sabtu, 6 April 2019 | 7:33pm
Petugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menampal poster penerangan mengenai Ebola di wilayah North Kivu & Ituri, Congo. - Foto EPA
Petugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menampal poster penerangan mengenai Ebola di wilayah North Kivu & Ituri, Congo. - Foto EPA

Ebola catat lebih 700 kematian di Congo

BUTEMBO (CONGO): Kira-kira 100 individu dilaporkan meninggal dunia dalam wabak Ebola di Congo sejak tiga minggu lalu, menjadikan jumlah kematian keseluruhan melebihi 700, menurut data kementerian kesihatan.

Penduduk tempatan kini diberikan vaksin pada skala lebih besar buat kali pertama dengan lebih 95,000 penerima disuntik vaksin rVSV-Zebov dari makmal Merck.

Menurut kementerian kesihatan, langkah itu membolehkan ribuan nyawa diselamatkan.

Congo membuat pengisytiharan penyebaran wabak Ebola buat kali kesepuluh dalam tempoh 40 tahun Ogos lalu di timur laut wilayah Kivu sebelum ia menular ke wilayah jiran, Ituri.

Wabak terkini itu adalah yang terburuk di Afrika Barat sejak tahun 2014 yang meragut lebih 10,000 nyawa di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

“Sejak ia bermula, keseluruhan adalah 1,117 dengan 1,051 disahkan sebagai Ebola manakala 66 lagi berkemungkinan.

“Dari jumlah itu, 702 kematian sudah berlaku dengan 636 disahkan berpunca daripada penyakit itu manakala 66 lagi berkemungkinan dan 339 lagi pesakit berjaya sembuh,” kata kementerian sambil memetik data terkini yang diperoleh Khamis lalu.

Kementerian itu menambah, sebanyak 295 kes lagi yang disyaki sebagai Ebola sedang menjalani pemeriksaan lanjut. - AFP

Berita Harian X