Ahad, 24 March 2019 | 3:58pm
Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan bantahan guru Maghribi di Rabat. -Foto AFP

Polis Maghribi guna meriam air surai bantahan guru

RABAT: Polis Maghribi menggunakan meriam air awal hari ini bagi menyuraikan ribuan guru muda yang mengadakan bantahan di ibu kota ini untuk keadaan tempat kerja lebih baik, kata saksi.

Pihak berkuasa cuba menamatkan perhimpunan anggaran 15,000 guru di hadapan Parlimen di mana mereka merancang bermalam sebelum satu lagi bantahan lebih besar digesa pakatan parti pembangkang haluan kiri, kesatuan dan kumpulan masyarakat umum.

Anggota polis berpakaian anti-rusuhan bertindak selepas rundingan selama beberapa jam antara pegawai dan guru supaya meminta mereka meninggalkan kawasan itu, tidak berjaya.

Pihak berkuasa menawarkan menghantar bas ke tempat di mana mereka boleh bermalam, kata guru. Mereka melaungkan, ‘Kebebasan, maruah, keadilan sosial.’ Tiada ulasan daripada polis atau kerajaan.

Sesetengah guru berkata, mereka membantah berkenaan kontrak pekerjaan dan menuntut manfaat penuh serta pencen seperti mana kakitangan awam. Guru di seluruh negara mengadakan bantahan selama tiga minggu berturut-turut.

Daripada 240,000 jumlah guru, 55,000 dilantik sejak 2016 di bawah sistem kontrak baharu. -Reuters

Berita Harian X