Isnin, 25 Februari 2019 | 7:21am
Penunjuk perasaan Sudan membantah perintah darurat di daerah Burri, Khartoum, semalam dengan polis anti-rusuhan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka. -Foto AFP

Bantahan perintah darurat Sudan ketika PM baharu angkat sumpah

KHARTOUM: Ribuan penunjuk perasaan membuat bantahan semalam, menentang keputusan Presiden Omar al-Bashir untuk melaksanakan perintah darurat di seluruh negara, ketika pemimpin itu melantik Perdana Menteri baharu.

Bashir mengisytiharkan darurat setahun Jumaat lalu selepas tindakan keras maut gagal membendung bantahan beberapa minggu yang menggegarkan pemerintahan tiga dekadnya.

Bekas gabenor negeri pertanian di Jazeera, Mohamed Tahir Eila, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Sudan dalam upacara di istana presiden.

“Kami berharap dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada belia supaya mereka dapat mencapai aspirasi mereka,” kata Eila kepada media selepas upacara itu.


Mohamed Tahir Ayala mengangkat sumpah sebagai PM baharu Sudan disaksikan Bashir di Khartoum, semalam. -Foto Reuters

Menteri Pertahanan Sudan, Jeneral Awad Ibnouf, mengambil peranan tambahan sebagai Naib Presiden pertama selepas penyandangnya, Bakri Hassan Saleh dipecat Bashir.

Sebanyak 16 pegawai tentera dan dua pegawai daripada Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Kebangsaan (NISS), berpakaian seragam tentera turut mengangkat sumpah sebagai gabenor baharu untuk 18 wilayah negara itu.

“Hari ini, lembaran baharu bermula dalam sejarah Sudan. Lembaran ini memerlukan individu istimewa seperti anda untuk memimpin bagi menjamin keselamatan dan kestabilan dalam negara,” kata Bashir, berpakaian seragam tentera dalam upacara itu.

Presiden Sudan itu dijangka mengumumkan kabinet baharu ketika rombakan peringkat atasan secara besar-besaran dibuat.

Presiden itu, yang berkuasa dalam satu rampasan kuasa disokong puak Islam pada 1989 juga membubarkan kabinet dan kerajaan wilayah serta berikrar membawa teknokrat bagi membantu menamatkan krisis ekonomi, faktor utama di sebalik bantahan.

Namun semalam, penunjuk perasaan berarak menentang langkah terbaharunya serta bertembung dengan polis rusuhan di ibu kota ini, bandar berkembar di Omdurman dan Madani, kata saksi.

“Kami mahu memberi mesej kepada presiden, perintah darurat ini tidak akan menghalang kami. Matlamat kami ialah menggulingkan rejim ini dan kami akan melakukannya,” kata Sawsan Bashir yang mengambil bahagian dalam perhimpunan di Omdurman.

Penganalisis berkata, darurat adalah tindakan terdesak berikutan kemarahan umum dan lebih banyak konfrontasi ganas antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan tidak dapat ditolak.

Saksi berkata, bantahan juga berlaku di ibu kota daerah Burri, Shambat, Street 60 dan Al-Mamura.

“Di Burri, penunjuk perasaan malah memeriksa kad pengenalan sesiapa yang datang ke kejiranan itu,” kata seorang penduduk.

Kira-kira 300 orang berhimpun di Al-Mamura, kawasan mewah milik peniaga dan pedagang, kata saksi. Polis anti-rusuhan di ibu kota ini dan Omdurman membalas dengan gas pemedih mata. -AFP

Berita Harian X