Rabu, 20 Februari 2019 | 7:28pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

14 pembalak maut diserang Boko Haram

LAGOS : Sekurang-kurangnya 14 orang maut apabila militan Boko Haram menyerang sekumpulan pembalak di timur laut Nigeria, lapor seorang anggota pasukan tentera awam hari ini.

Ketua pasukan, Babakur Kolo berkata, serangan itu berlaku Isnin lalu di hutan Koshebe, 10 kilometer dari Maiduguri iaitu ibu negeri Bomo.

Menurut beliau, kumpulan penyerang berkenaan disahkan sebagai penyokong ketua Boko Haram, Abubakar Shekau.

“Kami menjumpai 14 mayat dari lokasi serangan dan masih mencari empat lagi, kata Kolo.

Seorang anggota pasukan, Mohammed Asheik yang terbabit dalam operasi mencari berkata, sembilan mayat ditemui semalam manakala lima lagi dijumpai hari ini.

“Empat lagi pembalak didapati hilang dan kami mengandaikan mereka juga sudah terbunuh,” katanya.

Kumpulan pembalak terbabit berasal dari perkampungan Lawanti di kawasan Jere yang menjadi sasaran militan berkenaan.

Boko Haram sebelum ini berulang kali menjadikan petani, pembalak dan pengembala haiwan sebagai sasaran kerana menuduh mereka sebagai pemberi maklumat kepada pasukan kerajaan dan tentera awam.

Bulan lalu, empat peladang dibunuh ketika bekerja berhampiran perkampungan Molai, lima kilometer di luar Maiduguri. - AFP

Berita Harian X