Isnin, 3 Disember 2018 | 12:39pm
PRESIDEN Nigeria, Muhammadu Buhari. - Foto Reuters
PRESIDEN Nigeria, Muhammadu Buhari. - Foto Reuters

Presiden Nigeria nafi pelanduk dua serupa

ABUJA: Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menafikan khabar angin yang mengatakan beliau meninggal dunia disebabkan penyakit yang dialami dan tempat beliau diganti oleh individu yang berwajah serupa berasal dari Sudan,” kata jurucakapnya.

“Ini adalah diri saya yang sebenar, saya jamin. Saya akan menyambut hari lahir ke-76 dan saya masih lagi sihat,” kata Buhari ketika mengadakan pertemuan dengan rakyat Nigeria di Poland, pada sidang kemuncak iklim UN COP24 di Katowice.

Beliau menjawab soalan berulang-kali daripada hadirin berhubung dakwaan yang sama - tersebar menerusi laman twitter, Facebook dan rakaman video YouTube - bahawa pemimpin negara paling ramai penduduk itu adalah seorang penyamar dikenali sebagai ‘Jubril’.

“Ramai orang berharap saya meninggal dunia ketika saya sakit. Ada antara mereka yang cuba menghubung Naib Presiden memohon dipertimbangkan sebagai timbalan kerana mereka menyangka saya sudah meninggal dunia,” kata Buhari berdasarkan kenyataan yang ditandatangani jurucakapnya, Garba Shebu.

Beliau menyifatkan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu sebagai orang yang ‘jahil’ dan ‘tidak beriman’.

Buhari yang bakal berdepan pilihan raya tahun depan, menghabiskan kebanyakan waktunya pada 2017 untuk menerima rawatan di London dan ia tidak pernah didedahkan kepada orang ramai.

Kekurangan maklumat terperinci berhubung penyakit yang dihidap beliau, keadaan yang lemah dan kurangnya penampilan di khalayak ramai menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung kesihatannya.

Tuntutan terhadap identiti presiden itu dibuat selepas sebulan beliau kembali dari London. Pihak yang menyebar khabar angin itu adalah kumpulan pengkritik presiden dan kerajaan. - AFP

Berita Harian X