Jumaat, 16 November 2018 | 10:45pm
Pegawai Palang Merah dilihat di tempat kejadian bas terbakar berhampiran Beitbridge, Zimbabwe. -Foto Reuters

42 maut, tong gas meletup dalam bas penumpang

HARARE: Sekurang-kurangnya 42 terbunuh apabila tong gas disyaki meletup dalam sebuah bas penumpang, kata polis Zimbabwe hari ini.

Perbadanan Penyiaran Zimbabwe (ZBC) menerbitkan gambar menunjukkan kenderaan musnah di sebatang lebuh raya antara sempadan negara Afrika Selatan itu dan bandar kedua di Bulawayo.


Bas penumpang rentung berhampiran Beitbridge, Zimbabwe, susulan letupan dipercayai berpunca daripada tong gas penumpang. -Foto Reuters

“Ketika ini kami tahu lebih 42 orang mati. Anggota kami berada di tempat kejadian,” kata jurucakap polis, Charity Charamba kepada AFP selepas nahas lewat semalam.

Media tempatan melaporkan, silinder gas memasak milik seorang penumpang dipercayai punca letupan.

Akhbar kerajaan, Herald berkata di Twitter, ia mengesyaki tangki gas milik seorang penumpang menyebabkan letupan dalam bas.

“Puluhan mangsa disahkan maut dan beberapa lain cedera akibat melecur,” katanya.

Akhbar memetik pemandu bas, Ndabazinhle Sikhosana, yang terselamat dengan lecur kecil sebagai berkata, kebakaran bermula selepas letupan berlaku.

ZBC melaporkan, mangsa yang cedera dirawat di hospital Gwanda mendakwa, bau gas menyelubungi bas selepas waktu malam sebelum konduktor membuka suis lampu dan bas terbakar.

Ia berkata, kira-kira 30 orang cedera, menambah kenderaan itu dalam perjalanan dari Zvishavane ke lintasan Beitbridge melalui bandar Filabusi apabila letupan berlaku. -AFP

Berita Harian X