Isnin, 12 November 2018 | 4:30pm
PETUGAS kesihatan memberikan vaksin Ebola kepada penduduk di sebuah kampung di Mangina, dekat wilayah Kivu, Congo. - Foto fail Reuters

Lebih 200 maut akibat Ebola terburuk dalam sejarah Congo

KINSHASA: Jumlah kematian akibat wabak Ebola di timur Congo meningkat kepada lebih 200 orang.

Wabak terbaru itu disifatkan paling buruk dalam sejarah negara, menyaksikan 201 kematian dan 291 kes jangkitan sejak Ogos, kata Kementerian Kesihatan.

Separuh kes dicatatkan di Beni sebuah bandar di utara Kivu yang diduduki kira 800,000 penduduk.

Jabatan menjaga keamanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menggesa kumpulan bersenjata tidak menghalang usaha kerajaan bagi memerangi wabak terbabit.

“Pasukan yang bertanggungjawab menjalankan kerja mengawal wabak penyakit berdepan ancaman secara fizikal, peralatan dimusnahkan dan kakitangan bertugas diculik,” kata Menteri Kesihatan, Oly Ilunga.

Wabak kali ini yang ke-10 berlaku di Congo sejak Ebola mula dikesan pada 1976. Sejak program vaksin bermula pada 8 Ogos, lebih 25,000 orang sudah diinokulasi. - BERNAMA-NNN-AGENSI

Berita Harian X