Ahad, 21 Oktober 2018 | 10:12am
MUHAMMADU Buhari
MUHAMMADU Buhari

55 maut bergaduh di pasar utara Nigeria

ABUJA: Seramai 55 orang terbunuh minggu ini dalam pertempuran antara penduduk Kristian dan Islam di utara Nigeria kerana pertikaian mengenai sebuah pasar, kata Presiden Muhammadu Buhari, semalam.

Pertempuran meletus antara belia Kristian Adara dengan orang Islam Hausa di pasar Kasuwan Magani kerana bergaduh mengenai kereta sorong.

Khamis lalu, dua orang menjadi korban terbaru. Selepas keganasan dihentikan oleh polis, belia Adara kemudian berhimpun semula dan menyerang penduduk Hausa dengan membakar kediaman mereka, kata sumber.

“Kebanyakan pembunuhan berlaku dalam serangan kedua, mengejutkan penduduk Hausa yang tidak menyangkanya,” kata Muhammadu Bala, seorang penduduk Kasuwan Madani yang turut kehilangan rumahnya kerana serangan itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dari Pejabat Presiden, ia menyatakan: “Presiden Muhammadu Buhari mengutuk keganasan kaum terbaru di Kasuwan Magani di negeri Kaduna yang sudah mengorbankan 55 orang.

Keganasan itu berlaku selepas pergaduhan meletus di pasar berkenaan Khamis lalu, menurut kenyataan itu lagi.

Pihak presiden bimbang bahawa penduduk negara itu terlalu suka untuk bergaduh selepas salah faham sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik.

“Tiada budaya dan agama yang menyokong sikap tidak peduli dengan keselamatan orang lain,” katanya sambil menambah bahawa hidup bersama secara aman adalah perlu untuk membantu sesebuah negara

Katanya lagi, tanpa keharmonian antara kaum, mustahil untuk mewujudkan suasana baik. - AFP

Berita Harian X