Jumaat, 7 September 2018 | 10:03pm
LEBIH 35,000 pendatang tiba di Sepanyol melalui jalan laut dan darat setakat tahun ini, menurut Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM). - Foto fail AP

Maghribi gagalkan 54,000 cubaan pelarian masuk ke Eropah

RABAT: Pihak berkuasa Maghribi setakat ini menggagalkan 54,000 cubaan pendatang haram untuk menyeberang ke Eropah, lapor agensi berita rasmi MAP hari ini.

Ia berkata, pihak berkuasa berjaya membubarkan 74 ‘rangkaian jenayah’ dikaitkan pemerdagangan manusia dan merampas 1,900 bot dalam tempoh sama.

Negara Afrika Utara itu, laluan utama untuk rakyat sub-Sahara Afrika cuba sampai ke Eropah melalui Sepanyol, melancarkan satu operasi menyasar penyeludup manusia.

Julai lalu, ratusan pendatang memasuki wilayah Ceuta, Sepanyol dengan merempuh pagar sempadan dikawal ketat dengan Maghribi.

Ceuta dan Melilla, wilayah kecil Sepanyol di Afrika Utara, membentuk satu-satunya sempadan darat Kesatuan Eropah (EU) dengan Afrika.

Sepanyol menjadi pintu masuk utama pendatang yang tiba di Eropah selepas Itali dan Greece.

Lebih 35,000 pendatang tiba di Sepanyol melalui jalan laut dan darat setakat tahun ini, menurut Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM).

MAP bagaimanapun tidak mendedahkan kerakyatan pendatang yang dihalang menyeberang ke Eropah atau menyatakan secara khusus tindakan yang diambil.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, 230 suspek penyeludup manusia dari Maghribi dan negara sub Sahara Afrika, dibicarakan sejak awal tahun ini. -AFP

Berita Harian X