Sabtu, 18 Ogos 2018 | 8:23pm

Ghana berkabung seminggu

ACCRA: Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo mengucapkan terima kasih kepada mendiang bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan kerana berjaya menjadi diplomat antarabangsa kebanggaan negaranya.

Akufo-Addo mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan semua misi diplomatik selama seminggu bermula Isnin ini.

Annan penerima Hadiah Nobel Keamanan, meninggal dunia di hospital di Bern, Switzerland, awal pagi hari ini pada usia 80 tahun.

Akufo-Addo berkata kerajaan dan rakyat Ghana sangat sedih mendengar berita kematian individu yang disifatkan sebagai ‘rakan seperjuangan paling hebat’.

“Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan memenuhi tugas sebagai diplomat antarabangsa dan dihormati menjadikan beliau rakyat pertama dari negara Afrika yang menjawat jawatan tertinggi ini. Beliau mengharumkan nama negara dengan kedudukannya dan menerusi pembabitannya serta aktiviti di arena global,” kata satu kenyataan rasmi.

Kenyataan itu turut menyentuh keyakinan beliau terhadap kemampuan rakyat Ghana untuk melakar perkembangan kemajuan dan keamanan dalam hidup. - Reuters

Berita Harian X