Rabu, 28 Februari 2018 | 1:25am

Wanita Afrika maut dibunuh singa betina

JOHANNESBURG: Seorang wanita berusia 22 tahun maut dibunuh seekor singa, semalam, di rumah persendiriannya berdekatan bandar Pretoria, lapor media tempatan.

Mangsa diserang seekor singa betina berhampiran Hammanskraal, kira-kira 45 kilometer di utara Pretoria sekitar 9 pagi waktu tempatan, lapor akhbar Rekord memetik perkhidmatan kecemasan.

"Ketika anggota paramedik Netcare 911 tiba di tempat kejadian, orang ramai sedang cuba menyelamatkan wanita malang itu. Namun, mangsa mengalami kecederaan teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata jurucakap perkhidmatan ambulans bagi Netcare 911, Nick Dollman kepada akhbar berkenaan.

Netcare 911 mengesahkan insiden itu menerusi akaun Twitter mereka.

Dollman berkata, polis masih menyiasat mengenai kemalangan tragik berkenaan.

Awal bulan ini, seorang pemburu haram maut dibaham sekumpulan singa berhampiran Taman Negara Kruger yang terkenal di Afrika Selatan. - AFP

Berita Harian X