Isnin, 26 Februari 2018 | 8:47am
AHLI keluarga melawat ibu kepada pelajar yang hilang selepas militan dipercayai Boko Haram menceroboh Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di perkampungan Jumbam, negeri Yobe, Nigeria. - Foto Reuters
AHLI keluarga melawat ibu kepada pelajar yang hilang selepas militan dipercayai Boko Haram menceroboh Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di perkampungan Jumbam, negeri Yobe, Nigeria. - Foto Reuters

Nigeria sahkan 110 pelajar perempuan hilang

ABUJA: Kerajaan Nigeria mengesahkan 110 pelajar perempuan hilang selepas militan Boko Haram menyerang sekolah di timur laut negara itu.

Pengumuman dibuat selepas beberapa hari kerajaan mendiamkan diri mengenai nasib mereka.

"Kerajaan Persekutuan mengesahkan 110 pelajar Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di Dapchi, di negeri Yobe, hilang, selepas militan dipercayai Boko Haram menceroboh sekolah mereka Isnin lalu," menurut Kementerian Penerangan dalam kenyataan.

Kenyataan dibuat selepas pihak berkuasa mendapati 110 daripada 906 pelajar hilang, kata kementerian.

Penculikan menimbulkan persoalan mengenai dakwaan berulang kali tentera bahawa militan di ambang kekalahan, selepas hampir sembilan tahun bertempur.

Ia juga mengimbas kembali memori terhadap penculikan lebih 200 pelajar perempuan dari Chibok pada 2014 yang mengejutkan dunia.

Malam Isnin lalu, pelajar yang ketakutan melarikan diri dari sekolah asrama apabila militan bersenjata berat berpakaian tentera dan serban menyerang bandar itu, sambil melaungkan 'Allahu Akbar'.

Pihak berkuasa pada awalnya menafikan mana-mana pelajar diculik.

Jumaat lalu, Presiden Muhammadu Buhari, meminta maaf kepada keluarga mangsa, berkata: "Ini bencana negara. Kami meminta maaf kerana ia berlaku." - AFP

Berita Harian X