Sabtu, 27 Januari 2018 | 11:24pm

14 tentera Mali maut

BAMAKO: Empat belas anggota tentera Mali terbunuh, manakala 18 lagi cedera dalam serangan ke atas kem mereka di kawasan terpencil di utara Mali, hari ini.

Sumber tentera memaklumkan, serangan itu dilakukan oleh puak pengganas.

"Angkatan tentera Mali diserang awal pagi ini kira-kira jam 4 pagi di Soumpi di wilayah Timbuktu.

"Kami merekodkan 14 kematian, 18 cedera dan kerosakan harta benda," kata kenyataan tentera di media sosial.

Pegawai tempatan mengesahkan jumlah kematian itu dan berkata, lima lelaki yang cedera dipindahkan ke kawasan Niafunke untuk rawatan.

Dua hari lalu, 26 penduduk awam, termasuk ibu dan bayi terbunuh selepas kenderaan mereka terkena periuk api di Boni di tengah Mali.

Keadaan keselamatan di Mali ketika ini meningkatkan kebimbangan. Beberapa kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda melakukan serangan terhadap angkatan tentera tempatan dan antarabangsa.

Ia menyebabkan Presiden Mali membatalkan lawatannya ke persidangan Afrika, hari ini. - AFP

Berita Harian X