Khamis, 2 Februari 2023 | 11:34am
Datuk Shahira Ahmed Bazari
Datuk Shahira Ahmed Bazari

Yayasan Hasanah buka permohonan geran 2023

KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah, yayasan berasaskan impak Khazanah Nasional Bhd mengumumkan bahawa permohonan untuk Geran Hasanah 2023 kini dibuka.

Pemohon yang berjaya layak mendapat pendanaan sehingga RM2.5 juta dalam tempoh tiga tahun, bergantung kepada jenis projek yang dicadangkan.

Program Geran Hasanah bertujuan untuk menangani antara cabaran sosial paling kritikal di bawah lima bidang tumpuan utama yayasan iaitu dalam pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar,

seni dan ruang awam, serta pengetahuan.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari, berkata Hasanah bekerjasama dengan perusahaan sosial dan organisasi masyarakat sivil untuk mencapai impak yang mereka citakan.

"Kami melihat bahawa pemain dalam sektor impak sosial Malaysia mempunyai semangat berkobar dan berani dalam usaha mereka. Malah, ramai yang sudah melahirkan impak yang amat mendalam dalam komuniti yang mereka perkasakan.

"Melalui rakan kerjasama geran kami, Hasanah secara langsung menyentuh kehidupan 1.3 juta insan sejak 2015, menjadi bukti betapa signifikannya skala impak yang mampu dibawakan oleh pencetus perubahan di negara kita.

"Lebih daripada sekadar pemberi geran, Hasanah berdiri teguh bersama rakan kerjasama kami untuk melangkah lebih jauh ke hadapan, memanfaatkan dan membangunkan kapasiti, skala dan potensi kita secara kolektif," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tahun lalu melalui Geran Khas Hasanah 2022, Dana Perusahaan Sosial Hasanah, dan Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS), lebih 160 projek impak sosial serta program seni, warisan dan budaya disokong oleh geran Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan berjumlah RM55 juta.

Organisasi Malaysia yang layak dijemput untuk memohon dari sekarang hingga 28 Februari 2023, di mana pemohon yang berminat dijemput untuk terlebih dahulu membuat penilaian kelayakan masing-

masing.

Selepas pengesahan kelayakan, pemohon boleh mengemukakan permohonan geran mereka mulai 15 Februari.

Pemohon yang berminat juga digalakkan untuk menghadiri bengkel yang bakal menerangkan cara-cara memohon dengan terperinci.

Bengkel Geran Hasanah 2023 akan dianjurkan dari 20 Februari hingga 1 Mac di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, iaitu Johor, Kelantan, Perak, Sarawak, dan Lembah Klang.

Berita Harian X