Rabu, 3 Ogos 2022 | 8:50pm
PMKS di Malaysia berada pada landasan pemulihan beransur-ansur daripada pandemik - NSTP/Faiz Anuar
PMKS di Malaysia berada pada landasan pemulihan beransur-ansur daripada pandemik - NSTP/Faiz Anuar

Usahawan PMKS dijangka terus pulih tahun ini

KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dijangka meneruskan momentum pemulihan pada tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021.

Menurut SME Corp Malaysia, pemulihan dan pembangunan berterusan sektor itu seharusnya mengambil kira strategi jangka sederhana dan panjang supaya PMKS lebih berdaya tahan untuk menghadapi kejutan masa depan serta meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi.

"Terdapat keperluan untuk memberi penekanan kepada tiga bidang tumpuan bagi memastikan pertumbuhan PMKS yang mampan iaitu penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri berimpak tinggi, pengantarabangsaan PMKS serta pendigitalan dan automasi PMKS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PMKS berada pada landasan pemulihan beransur-ansur dengan petunjuk utama seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport dan guna tenaga mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021 walaupun persekitaran dalam negeri dan global yang masih mencabar disebabkan pandemik.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, pertumbuhan KDNK PMKS meningkat satu peratus pada 2021 kepada RM518.1 bilion berbanding pertumbuhan negatif 7.3 peratus pada 2020 (RM512.9 bilion).

Pertumbuhan positif KDNK PMKS telah didorong oleh firma dalam sektor pembuatan dan pertanian, terutama industri berkaitan getah dan kimia di mana PMKS dalam industri ini mendapat manfaat daripada permintaan yang dicetuskan pandemik.

PMKS dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penguncupan lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, PMKS berorientasikan eksport juga masih berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada 2021, melonjak berbanding penguncupan yang ketara sebanyak 33.1 peratus pada 2020.

Eksport PMKS menokok kepada RM124.3 bilion (2020: RM117.8 bilion) dengan pertumbuhan yang disokong terutama oleh PMKS dalam sektor pertanian (20.4 peratus) dan pembuatan (16.7 peratus).

Eksport PMKS dalam sektor perkhidmatan menguncup untuk tahun kedua berturut-turut (-22.6 peratus; 2020: -62.1 peratus) yang mencerminkan kebergantungan yang tinggi terhadap aktiviti pelancongan yang terjejas teruk pada tahun berkenaan.

"Selain itu, prestasi eksport yang rendah adalah disebabkan permintaan luaran yang lebih rendah berikutan sekatan pergerakan dan kapasiti operasi yang rendah serta penglibatan PMKS yang berkurangan dalam aktiviti pengantarabangsaan," katanya.

Sumbangan PMKS kepada ekonomi Malaysia merosot, manakala bukan-PMKS pulih pada kadar yang lebih pantas.

Sumbangan PMKS kepada KDNK berjumlah 37.4 peratus (2020: 38.1 peratus), eksport PMKS kepada jumlah eksport berkurangan kepada 11.7 peratus (2020: 13.5 peratus) dan sumbangan PMKS kepada jumlah guna tenaga susut kepada 47.8 peratus (2020: 48.0 peratus).

-BERNAMA

Berita Harian X