Isnin, 1 Ogos 2022 | 2:04pm
(Dari kiri) Penolong Pengurus Unit Usahawan dan PKS NCER, Wan Mastura Mohd Zain; Pengarah Modal Insan/Sekretariat Jabatan Modal Insan NCIA, Datuk Shahdee Ahmad; Ketua Perbankan PKS CIMB, Jaya Balan Kathiravalu dan Pengarah Perbankan Islam CIMB, Mohd Rizal Khir pada program Jangkauan Komuniti PKS baru-baru ini - Foto ihsan CIMB
(Dari kiri) Penolong Pengurus Unit Usahawan dan PKS NCER, Wan Mastura Mohd Zain; Pengarah Modal Insan/Sekretariat Jabatan Modal Insan NCIA, Datuk Shahdee Ahmad; Ketua Perbankan PKS CIMB, Jaya Balan Kathiravalu dan Pengarah Perbankan Islam CIMB, Mohd Rizal Khir pada program Jangkauan Komuniti PKS baru-baru ini - Foto ihsan CIMB

CIMB beri rebat pinjaman, pembiayaan usahawan di utara

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) memperkenalkan Skim Usahawan NCIA-CIMB (NCES) kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khusus di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Victor Lee Meng Teck, berkata skim itu menyediakan rebat sehingga RM5 juta ke atas faedah dan keuntungan daripada pinjaman dan pembiayaan PKS CIMB, bertujuan untuk terus merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan serta menyokong pembangunan dan pemulihan ekonomi.

Katanya, NCES adalah usaha sama CIMB dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bertujuan untuk menggiatkan semula pembangunan hampir 1,500 PMKS selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 melalui pengurangan kos pembiayaan melalui subsidi faedah dan keuntungan.

"PMKS yang layak akan diberikan rebat 50 peratus ke atas jumlah faedah dan keuntungan Pembiayaan Quick Biz CIMB SME.

"Ini termasuk pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), kemudahan pembiayaan yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberikan bantuan dan menyokong pemulihan PKS yang terjejas akibat pandemik," katanya dalam satu kenyataan.

Meng Teck berkata, di bawah NCES, CIMB akan menjadi pembiaya kemudahan manakala peranan NCIA adalah untuk membantu PMKS yang layak mengurangkan kos pembiayaan mereka melalui subsidi.

Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) pula, katanya akan menjadi agensi tunggal yang menyediakan perlindungan jaminan sehingga 70 peratus ke atas pembiayaan yang diberikan kepada PMKS.

"Pemulihan negara ketika ini memberi peluang kepada perniagaan baharu yang merangkumi kedua bahagian rantaian nilai bekalan dan permintaan.

"Justeru, NCES adalah tepat pada masanya kerana kami komited terhadap peremajaan dan pertumbuhan perniagaan PMKS yang menjadi pemacu utama dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

"Skim ini memberi peluang kepada kami untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan dalam bentuk rebat pakej pembiayaan untuk PMKS di wilayah utara di samping menggalakkan semangat keusahawanan," katanya.

Beliau berkata, CIMB berharap dapat memainkan peranan yang berterusan sebagai pemangkin pertumbuhan dan terus memberi impak positif kepada masyarakat, PMKS dan ekonomi secara keseluruhannya.

Katanya, bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penerima di bawah skim itu, CIMB turut melancarkan program Jangkauan Komuniti PKS di wilayah utara.

"Melalui inisiatif ini, CIMB dan NCIA akan menyediakan panduan kepada PMKS dalam meningkatkan produktiviti dan keuntungan perniagaan disamping meningkatkan daya saing dalam pasaran dan membolehkan mereka mencipta peluang pekerjaan baharu khususnya di wilayah utara," katanya.

Berita Harian X