Khamis, 23 Jun 2022 | 4:53pm
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tengah) beramah mesra bersama peniaga pada Majlis Perasmian Minggu PMKS bersempena Minggu Usahawan Negara 2022 di KTCC Mall, hari ini - Foto BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tengah) beramah mesra bersama peniaga pada Majlis Perasmian Minggu PMKS bersempena Minggu Usahawan Negara 2022 di KTCC Mall, hari ini - Foto BERNAMA

Minggu PMKS 2022 sasar potensi jualan RM20 juta

KUALA TERENGGANU: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM20 juta termasuk melalui padanan perniagaan sempena Minggu Perindustrian Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berlangsung di seluruh negara mulai 10 Jun hingga 4 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy, berkata sasaran itu adalah peningkatan hampir sekali ganda berbanding RM9.7 juta yang direkodkan sepanjang Minggu PMKS yang diadakan secara dalam talian pada tahun lalu.

Beliau berkata, sasaran peningkatan itu adalah relevan memandangkan tahun ini Minggu PMKS diadakan secara bersemuka dengan program padanan perniagaan digerakkan bersama beberapa pasar raya seperti Aeon Big, Mydin, Sabasun dan Giant.

"Pada tahun lalu, lebih 75 aktiviti telah dilaksanakan sepanjang Minggu PKS 2021 seperti e-pameran, jualan produk, aktiviti pemadanan perniagaan dan sesi perkongsian ilmu melalui webinar, bual bicara dan 'pocket talk'.

"Kesemua aktiviti ini dilaksanakan secara dalam talian melalui platform MyAssist MSME. Oleh itu, kita yakin sasaran RM20 juta ini dapat dicapai kerana dijalankan melalui proses jualan secara bersemuka dan juga secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Minggu PMKS 2022 Terengganu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, hari ini.

Bertempat di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), seramai 42 usahawan Terengganu menyertai Minggu PMKS 2022 dan Terengganu adalah destinasi kedua selepas penganjurannya di Perak baru-baru ini.

Rizal berkata, sebanyak 183 program keusahawanan dan aktiviti tarikan pengunjung telah dirancang di seluruh negara sepanjang berlangsungnya Minggu PMKS 2022 membabitkan pelbagai kementerian, agensi, kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pasar raya, persatuan dan dewan perniagaan, sekolah, institusi pengajian tinggi serta institusi kewangan.

Sementara itu, Nurkhuzaini berkata seramai 42 usahawan Terengganu telah menyertai Minggu PMKS pada kali ini dengan potensi jualan sebanyak RM500,00 sepanjang tiga hari ia berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu.

"Pelaksanaan Minggu PMKS 2022 di Terengganu ini diharap dapat menyediakan peluang kepada usahawan untuk memulakan semula perniagaan secara bersemuka dan membangunkan semula perniagaan yang terkesan akibat keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

"Pada masa sama, usahawan juga dapat meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka serta mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat terkini mengenai program, aktiviti serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Minggu PMKS Terengganu berlangsung ialah karnival jualan, kaunter khidmat nasihat, taklimat perniagaan, perkongsian kisah kejayaan usahawan, sesi pemadanan perniagaan, ceramah motivasi dan agama serta demonstrasi produk.

-BERNAMA

Berita Harian X