Selasa, 26 April 2022 | 3:27pm
Shopee Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu peniaga - Foto hiasan
Shopee Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu peniaga - Foto hiasan

Peniaga luar bandar di Shopee meningkat 7.5 kali ganda

KUALA LUMPUR: Jumlah peniaga luar bandar di Malaysia yang menjual di platform Shopee meningkat sebanyak 7.5 kali ganda sejak Januari 2020, kata Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh.

"Perniagaan mereka juga berkembang lebih 150 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan keterlihatan (view) dan kadar trafik di dalam platform dan rantaian bekalan kami yang berupaya mengambil bungkusan di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum maya bertajuk 'Pasaran: Ke Arah Ekonomi yang Lebih Inklusif dan Berpenyertaan', hari ini.

Forum itu disertai oleh Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Soh berkata, Shopee Malaysia juga akan terus memperkasakan platformnya dengan memastikan ia mudah diakses oleh semua golongan termasuk mereka yang terpinggir seperti golongan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau berkata, bagi memastikan usaha itu dapat dicapai, pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif yang antara lain memudahkan peniaga untuk mendaftar ke dalam platformnya tanpa memerlukan kos permulaan yang tinggi.

Di samping itu, katanya, Shopee melancarkan Shopee University yang setakat ini telah melatih lebih 148,000 peniaga mengenai literasi digital secara percuma.

"Teknologi memainkan peranan yang amat penting dan ia kini telah menjadi utiliti untuk semua pihak sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada kumpulan ini melalui inisiatif sokongan komuniti tempatan Shopee dengan membantu mereka meningkatkan perniagaan.

"Shopee turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerusi program Pupuk, di mana kami melatih seramai 100 peniaga dari luar bandar dan ada daripada mereka yang menjadi peniaga berjaya," katanya.

Berita Harian X