Khamis, 21 April 2022 | 4:28pm

Bufet Ramadan Santhai Village dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Mengusahakan restoran makanan steamboat, Santhai Village dua tahun lalu di era pandemik COVID-19, ahli perniagaan yang juga penyanyi terkenal, Haqiem Rusli mengakui adat berniaga ada turun naik.

Bagaimanapun sejak memasuki fasa endemik awal April lalu selain keberkatan bulan Ramadan, rezekinya perniagaannya terletak di Block H, Platinum Walk, Danau Kota kembali bernyawa.

Memperkenalkan harga RM28 sekepala untuk sesi berbuka puasa dengan makanan bufet steamboat dan barbeku sejak awal Ramadan lalu, percaturan perniagaan diusahakan Haqiem dan isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri menjadi.

"Alhamdulillah sambutan berbuka puasa di sini cukup memberangsangkan dan sentiasa penuh. Konsep buka puasa di sini, makan sebanyak mana atau sampai kenyang.

"Kita juga sediakan menu tambahan seperti mee goreng, maggi goreng, lauk ayam, pelbagai manisan termasuk pulut Mangga. Memberi kelainan, steamboat disediakan juga boleh dinikmati dengan taburan 'cheese' atau keju.

"Sepanjang bulan Ramadan ini, kita beroperasi dari petang hingga ke tengah malam. Yang nak moreh pun boleh datang ke sini. Insya-Allah makanan di sini sedap dan kena rasai sendiri. Lagipun isteri saya dari Kelantan dan memang dibesarkan dengan keluarga berniaga. Kualiti makanan itu dijaganya, saya pula lebih kepada kerja promosi restoran," katanya.

Tambah Haqiem, istimewanya juga steamboat ditawarkan dengan tiga pilihan jenis kuah.

"Selalunya kuah steamboat ditawarkan sama ada jenis tom yam atau sup ayam. Tapi di restoran ini, kuah asam pedas juga ditawarkan sebagai memberi kelainan dengan kedai steamboat yang lain.

"Saya pilih perniagaan steamboat ini pun sebab bila saya sudah cuba makan, mula rasa tertarik. Lagi pun saya tengok ramai sekarang ini suka makan steamboat.

"Asalnya saya ditawarkan jadi duta restoran oleh rakan kongsi yang juga merangkap isteri. Tapi akhirnya kami sepakat menjalankan perniagaan ini bersama," katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh lawati Instagram @santhaivillagehq atau hubungi +60 17-870 9335.

Kata Haqiem lagi, dia dan isteri berkira-kira untuk membuka cawangan baharu.

"Cawangan pertama premis ini, tak dinafikan lokasi sedia ada memang strategik. Insya-Allah saya dan isteri juga sedang meneliti langkah untuk membuka cawangan baharu.

"Setakat ini ada dua lokasi di Ampang atau Subang yang ingin dipertimbangkan. Berniaga steamboat ini kena cari kawasan padat atau dikerumuni ramai. Lagipun berniaga makanan sebegini memang kena main volum untuk ajak ramai datang makan," katanya.

Berita Harian X