Isnin, 18 April 2022 | 3:26pm

TEKUN Nasional selesai agih RM200 juta peruntukan SPIM

KOTA BHARU: Peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang dibuka kepada usahawan sejak 1 Januari lalu selesai diagihkan kepada 31,000 usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar, berkata pihaknya berharap bantuan pembiayaan yang disalurkan menerusi TEKUN Nasional itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan yang menjalankan perniagaan.

"Buat masa ni untuk itu (agihan) sudah selesai dan kita akan cuba merayu pada pihak Kementerian Kewangan untuk tambah lagi jumlah pembiayaan, jika diperlukan.

"Pinjaman ini diberikan sehingga maksimum RM10,000 tanpa caj keuntungan serta moratorium selama 12 bulan dan kita harapkan usahawan yang terbabit dapat membayar balik pinjaman dalam masa ditetapkan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir.

Terdahulu, Noh hadir menyampaikan geran khas bantuan banjir kepada 1,677 usahawan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional di Kelantan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.031 juta.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin.

Noh berkata, geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM50 juta kerajaan kepada usahawan mikro yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara pada Disember tahun lalu dan kali kedua bencana alam itu menyusul ke tiga negeri Pantai Timur.

"Kita menerimalebih daripada 16,000 permohonan untuk BBKM dan setiap usahawan yang terpilih menerima RM3,000 untuk membantu memulihkan perniagaan mereka.

"Bantuan ini membuktikan kerajaan bersungguh dalam usaha membantu golongan usahawan kecil ini selain menghargai sumbangan peniaga kecil terutama yang menjalankan perniagaan di tepi jalan dalam merancakkan pembangunan semula ekonomi negara," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar menyerahkan cek geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) berjumlah RM3,000 kepada 1,677 usahawan mikro di Kelantan - NSTP/Siti Rohana Idris
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar menyerahkan cek geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) berjumlah RM3,000 kepada 1,677 usahawan mikro di Kelantan - NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X