Rabu, 23 March 2022 | 5:33pm
Datuk Seri Kamaruddin Manap.
Datuk Seri Kamaruddin Manap.

Naning rancakkan pembangunan ekonomi Melaka

ALOR GAJAH: Wilayah Adat Perpatih Naning menubuhkan Dewan Pembangunan Ekonomi Naning (DEPENA) dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Pembesar Waris, Datuk Seri Kamaruddin Manap berkata, usaha itu sekali gus menidakkan tanggapan masyarakat terhadap tatacara lama Naning sebagai sebuah daerah yang dibuka oleh orang Minangkabau dalam kurun ke-15.

Menurutnya, dari aspek pembangunan negeri, Naning turut menubuhkan syarikat pegangan komersial iaitu DEPENA Holdings Sdn Bhd (DHSB) yang sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap usaha untuk menjadikan rakyat lebih berdaya maju.

"DHSB sehingga kini telah membuat pelaburan strategik dalam pelbagai bidang antaranya bidang peruncitan, pertanian, ternakan, peruncitan emas dan dalam permohonan lesen pajak gadai Islam.

"Langkah ini sekali gus menidakkan stigma masyarakat terhadap tatacara naning sejak sekian lama, malah DHSM juga mengusahakan gandingan perniagaan bersama masyarakat tempatan terutamanya mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Berkerjan Datuk Undang Naning serta Lembaga Adat Perpatih Naning MelakaKompleks Wilayah Adat Perpatih Naning, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, dari aspek pembangunan negeri, Wilayah Adat Perpatih Naning sentiasa proaktif terhadap pembangunan negeri dan sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap usaha memajukannya.

Tambah beliau, melalui kebersamaan usaha itu, sudah pastinya ia membuktikan Naning bergerak seiring agenda pembangunan negeri yang mana Wilayah Adat Perpatih Naning akan memastikan ia bergerak secara proaktif bersama-sama membangunkan sosioekonomi masyarakat setempat.

"Buktinya, Lembaga Adat Naning 22 juga amat prihatin terhadap sebarang musibah yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang telah diterjemahkan semasa banjir melanda sekitar akhir Disember 2021 dan Januari 2022.

"Pada waktu itu, sebanyak 342 keluarga terjejas telah dibantu dengan pelbagai cara merangkumi bantuan makanan, kewangan dan sokongan emosi," katanya.

Selain itu jelas Kamaruddin, Unit Prihatin Naning sentiasa komited meneruskan misi bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat termasuk permasalahan yang dihadapi oleh golongan asnaf dan golongan terpinggir.

"Dalam hal ini, Naning sentiasa terkehadapan dalam memberikan bantuan kepada golongan ini yang mana terdapat juga asnaf menerima bantuan bulanan dalam bentuk kotak makanan asnaf selain bantuan saguhati kewangan setiap bulan.

"Dari sudut aspek pembangunan agama dan kerohanian, program pembudayaan Al-Quran Naning telah berjalan bersama Rakan Al-Quran negeri Melaka selama lebih setahun.

"Lembaga Adat Naning juga sedang merangka kerjasama bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menubuhkan pusat bimbingan agama dan madrasah dalam masa terdekat ini," katanya.

Berita Harian X