Selasa, 8 March 2022 | 7:02pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada sesi dialog sempena Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Pontian, hari ini - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada sesi dialog sempena Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Pontian, hari ini - Foto BERNAMA

Kerajaan tak 'pilih bulu' bantu usahawan

PONTIAN: Kerajaan tidak bersikap memilih bulu dalam memberikan bantuan atau pinjaman kepada mana-mana usahawan, biar pun mereka mempunyai fahaman politik berbeza dengan kerajaan pemerintah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sebaliknya, beliau menegaskan bantuan tetap diberikan selagi mereka yang memohon bantuan menepati syarat permohonan ditetapkan.

"Kita (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau MEDAC) terbuka dan tidak ada pilih bulu dalam membantu usahawan, sebab kita hendak membangunkan ekonomi negara dan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, khususnya usahawan sendiri," katanya pada sesi dialog sempena Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Benut dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan seorang usahawan yang ingin tahu sama ada kaedah penyaluran bantuan kepada usahawan, mengambil kira fahaman politik mereka yang berbeza daripada kerajaan pemerintah.

Sementara itu, Noh berkata, Johor adalah antara kerajaan negeri yang memberikan kerjasama baik terhadap MEDAC, bagi melaksanakan pelbagai program untuk memajukan usahawan di negeri terbabit.

"Malah, kerajaan negeri Johor juga menyediakan dana RM100 juta untuk membolehkan usahawan membuat pinjaman dengan Bank Rakyat, tanpa apa-apa faedah.

"Ertinya, apabila usahawan Johor pinjam RM10 juta dengan Bank Rakyat, mereka hanya bayar RM10 juta sahaja dan faedah akan dibayar oleh kerajaan negeri. Peruntukan sedemikian menunjukkan Menteri Besar Johor prihatin dalam membantu usahawan-usahawan," katanya.

Oleh itu, menurutnya bagi memastikan usaha dibuat itu mempunyai kesinambungan, adalah penting untuk rakyat Johor mengekalkan pemimpin seperti Hasni bagi membela nasib usahawan.

-BERNAMA

Berita Harian X