Jumaat, 14 Januari 2022 | 10:07pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Banjir: Institusi kewangan perlu bantu usahawan - MEDAC

TANJONG KARANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyarankan agar institusi kewangan kerajaan memudahkan permohonan pinjaman untuk usahawan luar bandar yang terjejas akibat banjir tanpa mengambil kira sama ada mereka disenarai hitam atau tidak oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM62 juta, masing-masing kepada Bank Rakyat (RM40 juta) dan SME Bank (RM22 juta) untuk memudahkan usahawan luar bandar yang terjejas akibat banjir memohon pinjaman sehingga maksimum RM50,000 setiap seorang.

"MEDAC melalui unitnya Tekun Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank hanya akan mengaplikasikan caj perkhidmatan sebanyak dua peratus yang tidak membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi perniagaan bahan lebihan lembu di sini hari ini.

Beliau turut menyeru agar usahawan luar bandar dapat mengambil peluang dengan mengunjungi institusi kewangan di bawah MEDAC yang berdekatan.

Katanya bantuan kewangan tersebut adalah berbeza daripada pinjaman lain berikutan ia dibiayai oleh kerajaan dan syarat kelayakan adalah sama dengan bantuan kewangan daripada Tekun Nasional.

Noh turut berharap prosedur pinjaman kewangan di bawah institusi kementeriannya dipermudahkan dan keutamaan diberikan kepada usahawan muda yang menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri.

– Bernama

TAG: MEDAC, Noh Omar, CCRIS, pinjaman

Berita Harian X