Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:33pm

PUNB tawar moratorium usahawan terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan bermula 1 Januari 2022.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris, inisiatif itu dilaksanakan atas keprihatinan terhadap rakan usahawan yang terkesan dengan bencana banjir.

Beliau berkata, PUNB sentiasa memberi fokus membantu semua rakan usahawan yang terjejas dan bantuan diharap dapat mengurangkan beban kewangan ditanggung usahawan berdepan dengan tempoh sukar ini.

"Sehingga kini, sebanyak 53 syarikat rakan usahawan PUNB di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan terjejas akibat banjir dengan kerugian dianggarkan hampir RM10.5 juta.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

"Justeru, rakan usahawan PUNB yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan komitmen pembayaran pembiayaan boleh memohon moratorium tertakluk kepada syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Rakan usahawan yang layak boleh menghubungi Pegawai Pemantau yang telah ditugaskan menyelia akaun melalui telefon atau emel.

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1300-13-7862 atau e-mel ke customerservice@punb.com.my.

Berita Harian X