Ahad, 19 Disember 2021 | 12:20pm

Bank perlu terus bantu PMKS, Koperasi - MEDAC

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyokong sektor perbankan terus membantu peminjam terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi yang menghadapi masalah kewangan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata usaha ini selaras dengan dasar baharu MEDAC supaya agensi yang memberikan pembiayaan kepada usahawan tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada peminjam.

Katanya agensi itu seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).

"Pada masa sama, urusan permohonan pembiayaan dana kerajaan dipermudahkan lagi dengan tidak mengguna pakai tapisan CTOS (Credit Tip Off Service Sdn Bhd) dan CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat).

"Ini juga adalah satu tindakan dalam membantu usahawan yang terkesan dalam tempoh pemulihan COVID-19," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam tempoh pencapaian 100 hari, Noh berkata MEDAC telah membantu seramai 220,248 usahawan yang terkesan dengan pandemik membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM7.172 bilion.

Katanya MEDAC akan terus membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi bukan hanya melalui pembiayaan tetapi juga melalui peluang perniagaan baharu, digitalisasi, latihan keusahawanan dan sesi libat urus yang membabitkan persatuan atau pertubuhan.

"Selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) iaitu Bekerja Bersama Rakyat, semoga semua langkah bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

– Bernama

Berita Harian X