Selasa, 23 November 2021 | 11:43am
Kedai bersaiz mega papar pengalaman baharu ibu bapa, tawar perkhidmatan dan produk komprehensif
Kedai bersaiz mega papar pengalaman baharu ibu bapa, tawar perkhidmatan dan produk komprehensif

Mothercare Experience Store pertama dibuka

KUALA LUMPUR: Kim Hin Joo (Malaysia) Bhd (Kim Hin Joo), peneraju runcit dalam barangan ibu bersalin, bayi, pakaian kanak-kanak dan alat permainan, membuka kedai Mothercare Experience Store yang pertama seumpamanya di Malaysia, terletak di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Pang Fu Wei, berkata kedai mega baharu seluas 15,000 kaki segi itu memaparkan konsep pengalaman baharu, termasuk trek ujian kereta sorong bayi, perkhidmatan pembersihan alat bayi dan khidmat nasihat penjagaan bayi yang menjanjikan pelanggan pengalaman visual serta sentuhan yang akan membantu mereka membuat keputusan pembelian dengan lebih baik.

Katanya, menggabungkan elemen 'kehidupan sebenar', ia membolehkan pelanggan untuk menguji produk dengan teratur, sebelum membelinya; set bilik penjagaan bayi yang memberi inspirasi supaya ibu bapa boleh merancang bagaimana menghias bilik untuk bayi baharu mereka kelak.

"Kedai Mothercare Experience Store di Tropicana Gardens Mall adalah yang pertama seumpamanya. Kami telah menjurutera semula pengalaman dalam kedai kami dan proses jualan bagi membantu ibu-ibu dan bapa-bapa membuat keputusan pembelian dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

Di samping pelbagai zon pengalaman, Mothercare Experience Store turut melancarkan Sparkle Clean, perkhidmatan pembersihan peralatan bayi baharu yang dicipta bagi memberi masa rehat kepada ibu bapa, dengan membolehkan mereka menyerahkan tugas rumit tetapi penting itu kepada profesional supaya mereka boleh meluaskan masa yang lebih menyeronokkan membelai bayi mereka.

Kedai ini juga menyediakan Penasihat Penjagaan Bayi Mothercare – kakitangan kedai yang terlatih dan bertauliah bagi membimbing ibu bapa menyelurusi apa sahaja maklumat yang mereka mahu, menjawab 101 persoalan daripada mereka yang baharu menjadi ibu bapa, dan menolong ibu-ibu dan bapa-bapa memilih produk bayi.

Fu Wei berkata, kedai pertama Mothercare Experience Store di negara ini adalah strategi pelbagai saluran syarikat untuk menambah baik semua titik sentuh pelanggan.

"Pandemik telah cukup mengganggu sektor peruncitan dan kami mencuba untuk berada di hadapan dengan memperkenalkan kaedah baharu dan menarik untuk berhubung dengan pelanggan kami.''

"Untuk tempoh dua tahun akan datang, kami berhasrat untuk memperkenalkan konsep kedai pengalaman kami di semua kedai utama kami di seluruh negara.

"Kami juga akan menambahbaik titik sentuh digital kami dan meningkatkan kehadiran dalam talian kami supaya sentiasa segar di mata pelanggan kami yang lebih muda dan peka teknologi. Kami sebenarnya sedang mengubah suai laman web kami.," katanya.

Tropicana Garden Mall adalah kedai Mothercare ke-21 yang dimiliki Kim Hin Joo dan outlet The Entertainer keempat di Malaysia.

Berita Harian X