Selasa, 29 September 2020 | 5:52pm
Pengarah Urusan KSK Land Sdn Bhd, Joanne Kua. - NSTP/Siti Noorfarah Hanan Mat Zahir
Pengarah Urusan KSK Land Sdn Bhd, Joanne Kua. - NSTP/Siti Noorfarah Hanan Mat Zahir

KSK Land sedia bantu usahawan F&B

KUALA LUMPUR: KSK Land Sdn Bhd bersedia membantu usahawan makanan dan minuman (F&B) yang terjejas dengan pandemik COVID-19 menerusi program Pemecut Platter.

Pengarah Urusannya, Joanne Kua, berkata program dilancarkan pada bulan lalu setakat ini telah menerima lebih 50 permohonan daripada peserta tempatan dan antarabangsa.

"Kami menyedari kebanyakan pemilik perniagaan F&B yang tergolong daripada PKS, bukan setakat memerlukan sokongan kewangan tetapi bimbingan serta sokongan teknikal untuk mereka berjaya.

"Berdasarkan kejayaan mengembangkan program pemecut teknologi, kini kami berubah arah ke industri F&B. Kami percaya bahawa KSK adalah antara yang pertama untuk melakukannya," katanya dalam satu sesi perkongsian kepada PKS di sini, hari ini.

Selain sokongan kewangan, progam Pemecut Platter akan memberikan bimbingan, strategi perniagaan dan bengkel kepada pemilik restoran untuk membantu mereka mengubah perniagaan mereka menjadi lebih mampan dan fleksibel untuk menghadapi krisis masa depan.

Mengulas lanjut, Kua berkata, aspek utama dalam meneruskan perniagaan terletak pada hubungan di antara semua aspek dalam perniagaan termasuk kewangan perniagaan, penjenamaan, pengurusan pembekal, pengembangan produk dan faktor lain.

Beliau berkata, salah satu langkah yang telah dilakukan adalah perubahan dalam pelaksanaan kerjasama di antara kumpulan-kumpulan di bawah KSK Land.

"Disebabkan pengalaman dalam bidang permulaan perniagaan baharu teknologi, kami menerapkan kerangka kerja 'AGILE' yang membolehkan kumpulan kami menjadi lebih pantas dan bertindak balas terhadap perubahan dengan cepat dan berkesan.

"Kami percaya yang KSK Land ialah pemaju hartanah pertama yang menggunakan sistem AGILE. Bagi kami, ini adalah langkah yang mahu dilakukan secara berterusan dan ini adalah komponen yang penting dalam usaha untuk mengekalkan kelestarian perniagaan dalam industri," katanya.

Berita Harian X