Selasa, 29 September 2020 | 4:44pm
‘Food Courts by GrabFood’
‘Food Courts by GrabFood’

'Food Courts by GrabFood' bantu peniaga tempatan

KUALA LUMPUR: Grab memperkenalkan 'Food Courts by GrabFood' dan memperluaskan 'Pasar by GrabMart' ke beberapa bandar untuk membantu peniaga tradisional mengambil bahagian dalam ekonomi digital serta mengembangkan perniagaan, di samping menyediakan pelbagai pilihan yang berpatutan kepada rakyat Malaysia dalam iklim ekonomi kini.

 

Usaha ini akan membantu digitalisasi dan meningkatkan penjualan untuk lebih banyak perniagaan kecil dan tradisional di seluruh negara.

Di samping itu, ini juga akan membantu Grab untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara dengan pelbagai makanan tempatan yang lebih berpatutan.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh, berkata memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, adalah penting bagi organisasi di sektor awam dan swasta membantu mereka yang sedang bergelut untuk kembali pulih.

Katanya, medan selera dan pasar tradisional adalah sebahagian besar daripada masyarakat negara ini yang menjadikan budayanya unik.

Tegasnya, walaupun sekatan pergerakan telah dilonggarkan, banyak perniagaan kecil masih terkesan dan mengalami kerugian dari segu kedatangan pelanggan dan mata pencarian mereka.

"Inilah sebabnya kami menumpukan usaha untuk mewujudkan platform inklusif yang boleh digunakan perniagaan tradisional bagi meningkatkan jualan mereka dalam keadaan normal baharu.

"Dengan rangkaian penghantaran yang boleh dipercayai dan komuniti pengguna besar di seluruh negara, kami berharap dapat memainkan peranan dalam membantu melestarikan budaya Malaysia yang dekat di hati kami," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam usaha untuk membantu lebih banyak perniagaan tradisional di seluruh negara, Grab

telah memperluas ciri 'Mix & Match' dengan penjaja makanan di medan selera.

Melalui 'Food Courts' by GrabFood, pelanggan kini boleh memesan daripada beberapa vendor yang berbeza di satu medan selera dan membayar hanya sekali bayaran penghantaran. 

Ini membolehkan pengguna menyokong kedai makanan tempatan dengan harga yang berpatutan di

samping masih mengamalkan penjarakan sosial.

Perkhidmatan itu kini terdapat di medan selera di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka dan Ipoh.

Sementara itu, pada bulan pertama perkhidmatan 'Pasar' dilancarkan di Pasar TTDI, vendor yang menyertainya mencatatkan kenaikan purata pesanan harian sebanyak 20 peratus.

Oleh itu, Grab memperluas perkhidmatan 'Pasar' berikutan kejayaannya di Lembah Klang dan Chowrasta (Pulau Pinang) ke Kota Kinabalu bermula dengan Pemborong Sayur 333.

Di samping itu, pengguna Pulau Pinang kini dapat mencari beberapa pasar lain di GrabMart iaitu Pasar Batu Lanchang dan Pasar Bayan Baru, manakala Pasar Seberang Jaya dan Pasar Bagan Ajam akan disediakan di GrabMart awal bulan depan.

Berita Harian X