Selasa, 29 September 2020 | 12:47pm
Bank Rakyat menawarkan lanjutan moratorium kepada pelanggan yang layak - Foto fail NSTP
Bank Rakyat menawarkan lanjutan moratorium kepada pelanggan yang layak - Foto fail NSTP

Bank Rakyat gesa pelanggan PKS beri respons lanjut moratorium

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menggesa usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk segera memberi maklum balas menjelang minggu terakhir pelaksanaan moratorium automatik yang tamat esok sekiranya memerlukan bantuan pembayaran pembiayaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata maklum balas daripada pelanggan penting bagi memastikan proses peralihan semasa tempoh

moratorium tamat berjalan dengan lancar agar tidak mengganggu operasi perniagaan mereka kelak.

"Sehingga kini sebanyak 160,000 pelanggan individu dan usahawan telah dihubungi oleh Bank Rakyat berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Komited dengan mandat untuk membangunkan usahawan dan PKS, Bank Rakyat menawarkan bantuan bersasar untuk individu terkesan yang bekerja sendiri atau PKS.

Bank Rakyat turut menawarkan beberapa inisiatif seperti mempercepatkan tempoh proses permohonan untuk membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19 dan kemudahan bantuan khas (SRF).

Selain itu, Bank Rakyat juga masih meneruskan kempen BizCare bagi usahawan serta BizLady untuk usahawan wanita dengan peruntukan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta.

Kempen yang bermatlamat untuk membantu melonjakkan semula pertumbuhan ekonomi negara ini ditawarkan sehingga 31 Disember 2020.

Bagi pelanggan yang berhasrat untuk memohon bantuan bersasar, mereka boleh berbuat demikian menerusi salah satu saluran komunikasi Bank iaitu e-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my dengan menyertakan sekali nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi, mengunjungi cawangan yang berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800.

Berita Harian X