Isnin, 23 Disember 2019 | 11:33am
Pengasas HSA Trading Capital Bhd, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal.
Pengasas HSA Trading Capital Bhd, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal.

HSA Cheaper Mart bantu usahawan pasar produk PKS

KUALA LUMPUR: HSA Trading Capital Bhd, pengeluar produk makanan berjenama Sherwanis akan membuka pasar raya mini sulungnya di Ampang, Selangor membabitkan perbelanjaan modal sebanyak RM80,000.

Pengasas syarikat, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal, berkata pasar raya yang bakal dikenali sebagai HSA Cheaper Mart itu akan mula beroperasi di Ukay Perdana pada 5 Januari ini.

Beliau berkata, pasar raya itu adalah penjenamaan semula Sherwanis Mart yang sebelum ini memiliki 10 rangkaian di selatan negara.

“HSA Cheaper Mart akan dibuka pada 5 Januari 2020 dan ketika ini kerja-kerja operasi berada pada peringkat akhir untuk memuatkan premis ini dengan pelbagai barangan keluaran Muslim dan menaikkan papan tanda perniagaan.

“Dengan pembukaan sulung ini hasil penjenamaan daripada Sherwanis Mart, syarikat sudah bersedia mengorak langkah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya di sini, baru-baru ini.

Muhamad Riduwan berkata, pembukaan premis itu sebagi platform terbaik buat syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk mempromosi dan menawarkan produk buatan mereka kepada pengguna.

“HSA Cheaper Mart masih mengekalkan konsep sama seperti pasar raya mini yang berjenama popular di seluruh negara namun kami memiliki strategi tersendiri.

“Tarikan utama kepada pengguna adalah harga yang ditawarkan lebih rendah serta menempatkan pelbagai produk buatan usahawan Muslim di bawah satu bumbung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap pasar raya mini akan menawarkan kira-kira 10,000 barangan dan 60 peratus daripadanya terdiri daripada produk Muslim manakala bakinya daripada produk runcit lain.

“Kami juga akan menawarkan pelbagai produk Sherwanis yang terkenal dengan rempah kari, kicap, jus minuman di HSA Cheaper Mart.

“Lebih 100 jenis produk di bawah jenama Sherwanis yang berada di pasaran sejak 2007 di lebih 7,000 kedai di seluruh negara khususnya di bahagian tengah serta selatan seperti Melaka,” katanya.

Muhamad Riduwan berkata, HSA Cheaper Mart merancang untuk memperluaskan pasarannya secara berperingkat sehingga 200 cawangan di seluruh negara pada 2020.

“Bagi mencapai sasaran itu, syarikat akan mengadakan promosi bergerak dan taklimat perniagaan di Johor, Melaka dan Selangor dalam masa terdekat untuk memberi penerangan mengenai perancangan masa depan jenama pasar raya mini ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X