Isnin, 21 Oktober 2019 | 9:00am
PENGASAS bersama Tasneem Natural, Haridah Sahri bergambar bersama produk di Jalan Putra 2, Taman Putra Kajang. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Gagal bukan bererti berputus asa

KUALA LUMPUR: Tiada satu industri pun yang akan terlepas daripada fenomena kepesatan pertumbuhan era digital hari ini.

Ia memberi kelebihan kepada mereka yang pantas beralih kepada perniagaan berasaskan digital, atau secara dalam talian, kerana ia meletakkan mereka di hadapan berbanding pesaing, pada kos yang lebih rendah berbanding melakukan perniagaan secara tradisional.

Bagi usahawan Haridah Sahri, 39, peralihan ke dalam perniagaan secara dalam talian adalah kerana beliau tiada banyak pilihan.

Ini kerana model perniagaan pertama beliau tidak kalis gangguan yang tercetus daripada ledakan era digital.


HARIDAH (kiri) memeriksa bungkusan sebelum di hantar kepada pelanggan di Jalan Putra 2, Taman Putra Kajang. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pengasas bersama Tasneem Natural ini memulakan berniaga coklat secara ‘home made’ pada 2007, selepas mengikuti suami pulang ke negeri asal bagi memulakan projek ternakan lembu secara fidlot.

Di Perak, beliau menyertai skim usahawan Lembaga Koko Malaysia, yang mana coklat yang dimasak di rumah dijual di kiosk di pasar raya berdekatan.

Selepas permintaan semakin meningkat, beliau ditawarkan menyewa premis perniagaan di Kawasan Industri MARA, Tambun bagi membolehkan pengeluaran coklat dihasilkan secara lebih efektif menggunakan mesin.

Sebanyak 10,000 unit coklat sebulan dihasilkan, dengan strategi pemasaran mengedarkannya di kiosk di pasar raya dan menyertai pameran perdagangan.

Apabila media sosial mula popular di tanah air, jualan coklat merosot ketara kerana orang ramai kurang lagi berkunjung ke pameran perdagangan dan mereka lebih selesa duduk di rumah dan membeli secara dalam talian menggunakan peranti mudah alih.

Penyusutan jualan begitu ketara menyebabkan lot perniagaan disita kerana gagal membayar sewa. Gaji pekerja pun tidak berbayar. Lebih malang lagi, suami yang sama-sama membangunkan perniagaan mengalami kemalangan.

Kemuncaknya ialah pada penghujung 2016. Tahun ini tidak dapat dilupakan pasangan ini kerana mereka berhadapan masalah kewangan yang kritikal.

Anak bongsu yang masih bayi pula asyik sakit-sakit dan meragam sehingga mendesak pasangan itu belajar menghasilkan sendiri balsam berasaskan minyak pati atau ‘essential oil’ di rumah. Antara faktor mendorong pasangan itu menghasilkannya sendiri ialah bagi penjimatan kos, berbanding membelinya di kedai atau farmasi.

Peristiwa ini jugalah yang menjurus kepada penubuhan Tasneem Natural.

Pada awalnya mereka banyak memberi balsam yang dihasilkan secara percuma kepada rakan-rakan terdekat untuk mencubanya dan ramai yang memberi maklum balas positif.

Bermula pada titik itu, ramai yang mencuba balsam Tasneem Naturel dan mendaftar untuk menjadi pengedar.

Kerana tidak mampu menyewa kedai fizikal, ia dijual menerusi media sosial menggunakan jenama Tasneem Nature yang kemudiannya ditukar menjadi Tasneem Naturel.

Balsam dihasilkan secara home made sehingga bulan kedua 2017, dan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dan di luar jangkaan, memaksa beliau menghasilkannya secara kontrak di kilang pihak ketiga, menggunakan resipi dan formula sendiri.

Pada tahun pertama (2017) jualan yang diraih mencecah RM2.5 juta, disokong 1,500 ejen pemasaran.

“Pengguna menempah secara dalam talian dengan ejen dan kami hanya perlu poskan. Ejen tidak simpan stok, dan ini menyenangkan mereka,” katanya.

Pada 2018 jualan mencecah RM4.9 juta. Hari ini ia digerakkan seramai 7,700 ejen di seluruh negara, Indonesia dan Brunei.

Yang menariknya ialah 95 peratus daripada tenaga ejen ini adalah suri rumah.

Bagi memantapkan lagi perniagaan digital ini, beliau menyertai program eUsahawan anjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn Bhd (MDEC), seperti program e-daya dan program lanjutan eUsahawan Level Up, inisiatif bertujuan menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tasneem Naturel adalah antara 50 syarikat terpilih menyertai Program eUsahawan Level Up, program dikhususkan kepada peserta usahawan mikro yang menunjukkan peningkatan prestasi perniagaan melalui laporan rekod jualan secara dalam talian.

Beliau dan suami menjalani program intensif dan bimbingan mentor selama enam bulan, yang mana pengisian program adalah merangkumi pengurusan perniagaan, pemasaran digital lanjutan dan bimbingan mentor daripada pengamal industri.

Program ini banyak memberikan manfaat, dan menurut Haridah, Tasneem Naturel kini diterima bukan saja di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Ia memerlukan anjakan dalam minda, budaya, proses dan sistem,” katanya.

Antara produk Tasneem Naturel ialah balsam kosmetik bayi/kanak-kanak; mandian bayi; minyak urut bayi; pencuci botol susu; sabun; minyak wangi; dan penyembur antibakteria.

“Lebih ramai golongan ibu yang kita tolong untuk menambah pendapatan mereka, maka lebih banyak kegembiraan yang kita kongsi bersama,” kata Haridah mengakhiri temu bual kami.

Biodata:

========

Nama: Haridah Sahri, 39

Kerjaya: Pengasas bersama Tasneem Natural

Pendidikan: . SK Teluk Bakong, Perak

. SMKA Sultan Azlan Shah, Sri Iskandar,

Perak

. UKM (Sains Komputer)

Berita Harian X