Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:03pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zoom, Jeevan Kumar (tengah), Ketua Pegawai Operasi Zoom Group, Sean Lee dan Ketua Pengurusan Armada Zoom, Mohammad Hafiz Mohamad Nasir di Centrepoint Bandar Utama. - Foto Aziah Azmee

Zoom realisasi idea tiga sekawan berlainan bangsa

PETALING JAYA: Siapa sangka idea spontan tiga sekawan berlainan bangsa ini untuk menubuhkan syarikat logistik ketika melepak di restoran mamak tiga tahun dulu kini menjadi realiti pada hari ini.

 

Lebih manis, idea spontan itu membuahkan kejayaan yang luar biasa apabila syarikat di bawah jenama Zoom itu, mampu dikembangkan sehingga ke luar negara hasil kerja keras Jeevan Kumar, 39; Sean Lee, 37, dan Mohamad Hafiz Mohamad Nasir, 31 sejak memulakan perniagaan itu pada 2016.

 

Berkongsikan kisah itu, Jeevan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zoom, berkata, mereka bertiga telah berkawan sejak kecil dan kembali berjumpa beberapa tahun lalu apabila pulang ke Malaysia selepas bekerja di luar negara.

 

Katanya, seperti biasa masing-masing menceritakan pengalaman mereka selepas sekian lama tidak berjumpa dan beliau sendiri turut berkongsi pengalaman buruk apabila pesanan bunga yang dibeli dalam talian untuk isterinya lambat dihantar oleh penghantar barangan.

 

“Dari situ, secara spontan saya mengutarakan idea untuk kami memulakan perniagaan penghantaran barangan di Lembah Klang. Secara kebetulan, Hafiz sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang ini apabila mempunyai ramai pekerja sambilan yang melakukan penghantaran permainan dalam taliannya.

 

“Sean pula mempunyai pengalaman dalam pembangunan perniagaan terutama dalam industri makanan dan minuman (F&B). Jadi, kami membuat keputusan mengapa tidak kami mencuba industri baharu ini,” katanya ketika ditemui di pejabat mereka di sini, baru-baru ini.

 

Jeevan berkata, kedai bunga yang pernah didatanginya untuk membeli bunga kepada isterinya adalah pelanggan pertama syarikat itu.

 

Katanya, mereka memulakan operasi pada Januari 2016 dengan 10 penghantar sebelum secara perlahan-lahan berkembang dengan mencari dan menambah pelanggan baharu.

 

“Dalam tempoh lapan bulan, kami mula menyedari yang syarikat mempunyai terlalu ramai pelanggan dengan produk mudah pecah. Pada masa itu jumlah penghantar kami juga sudah meningkat kepada lebih 30 orang.

 

“Sehubungan itu, kami mula meneroka peluang lain untuk mencari pelanggan dari segmen berbeza dan pada Januari 2017, kami berjaya mendapatkan pelanggan e-dagang terbesar kami iaitu Zalora. Seterusnya, kami berjaya meraih lebih banyak pelanggan e-dagang lain seperti Lazada, DHL dan DKSH.

 

“Kemuncak kepada syarikat ialah pada Oktober 2017, apabila Sean berjaya membantu syarikat membuka cawangan di Jakarta, Indonesia dan bermula dengan pelanggan sedia ada iaitu Zalora dan kini kami sedang bersedia untuk berkembang ke Kemboja pula pada bulan ini,” katanya.

 

Setiap mereka mengetahui peranan masing-masing dan pembahagian tugas telah dibuat dengan jelas dengan Hafiz bertanggungjawab menguruskan hal ehwal penghantar dan pekerja sambilan termasuk melakukan kerja pengambilan pekerja dan penyediaan latihan, kata Jeevan.

 

Bagi Sean pula, tugasnya ialah berkaitan dengan semua urusan pembangunan perniagaan termasuk pengembangan operasi ke luar negara dan akan bertanggungjawab berurusan dengan klien syarikat manakala beliau sendiri menguruskan perniagaan secara keseluruhannya.

 

Sementara itu Sean yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, berkongsikan pengembangan operasi syarikat ke luar negara menganggap Indonesia sentiasa menjadi negara kedua dalam sasaran syarikat untuk berkembang.

 

Katanya, cabaran di sana ialah selaju manakah anda mampu menawarkan perkhidmatan kerana apabila dibuat perbandingan, pelanggan di kedua-dua negara amat berbeza.

 

“Satu cerita menarik yang saya masih tidak lupa, ada seorang pelanggan kami melakukan penghantaran sayur-sayuran atas talian. Selepas tiga bulan berniaga, syarikat ini sudah berjaya menjual 500 kotak sayuran setiap hari di Jakarta.

 

“Sebagai perbandingan, di Malaysia, jika syarikat berjaya menjual jumlah yang sama, anda sudah dianggap sebagai syarikat premium kerana di Malaysia biasanya dalam tempoh sama, syarikat hanya berjaya menjual 100 kotak-150 kotak,

 

“Jadi di sana, cabarannya ialah berapa banyak yang anda boleh terima kerana pada mereka, mereka tiada masalah dari segi jumlah, jadi kami sentiasa berusaha untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan,” katanya.

 

Sean berkata, selepas Kemboja, pihaknya merancang untuk mengembangkan operasi ke Vietnam dan Thailand pula dalam tempoh dua tahun ini.

 

Dalam pada itu Ketua Pengurusan Armadanya, Mohamad Hafiz berkata, apa yang membezakan penghantar di syarikat itu dengan yang lain ialah pertama kestabilan.

 

Katanya, kebanyakan penghantar di luar sana kerja berasaskan sambilan atau 'freelance' yang dibayar apabila selesai melakukan tugasan penghantaran berbanding di Zoom yang diberikan gaji asas dan elaun-elaun seperti petrol dan motosikal.

 

""Kami turut mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insurans untuk mereka. Kami faham ramai penghantar di luar sana yang lebih suka dengan konsep bayaran harian atau mingguan.

 

"Namun kini semakin penghantar yang mahukan kestabilan dan kami menyediakannya. Tidak banyak syarikat yang menyediakan struktur pembayaran sebegini kepada penghantar.

 

"Selain itu, apa yang menjadikan syarikat ini unik ialah kami menghantar semua jenis penghantaran sama ada makanan, bunga atau parsel berbanding syarikat lain yang hanya menghantar satu jenis barangan sahaja," katanya.

Berita Harian X