Rabu, 21 Ogos 2019 | 10:44am
Siti Nur Sakinah bersama Sobre, Zaid dan Leeza menunjukkan produk minuman pelbagai perisa jenama Munira keluaran MMI Murni Manufacturing ketika ditemui di Puchong, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Era digital bantu lonjak jenama Munira

LEDAKAN ekonomi digital adalah cabaran baharu kepada perniagaan hari ini.

Dengan ekonomi berubah ke dunia digital, perniagaan tiada pilihan, sebaliknya harus lebih peka dengan apa yang berlaku secara dalam talian.

Era yang pantas berubah inilah yang mendorong Siti Nur Sakinah Abdullah, 53, pemilik merangkap Pengarah Urusan MMI Murni Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar minuman jus buah-buahan dan minuman berkarbonat, untuk menggandakan lagi usaha membuat pembaharuan demi menghadapi perubahan ini.

Ia lebih mencabar kepada perniagaan bersaiz kecil yang diusahakan Siti Nur Sakinah ini kerana kekangan modal, tambahan lagi perniagaan yang diusaha dan dibangunkan bersama suami ini bermodalkan wang sendiri, tanpa meminjam dengan mana-mana bank.

Pada awal penubuhannya pada 1998, MMI Murni Manufacturing hanyalah sebuah perusahaan yang mengeluarkan minuman berkarbonat untuk diedarkan di kawasan berhampiran.

Secara perlahan-lahan, perniagaan dibesarkan dengan membeli lebih banyak mesin, selain mempelbagaikan lagi produk yang ditawarkan.


Antara produk minuman pelbagai perisa jenama Munira. - NSTP/Aizuddin Saad

Produk minuman jenama Munira dijual secara konvensional. Dijual di sekolah, kemudian di kedai runcit dan di bawah program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ia kini dijual di Tesco.

Sebagai mempersiapkan golongan pelapis yang akan meneruskan perniagaan keluarga ini, Siti Nur Sakinah melatih anak dan menantu selok-belok perniagaan.

Anak beliau, Leeza Abas, 28, bertanggung jawab dalam operasi syarikat, manakala menantunya, Muhd Sobre Abd Aziz, 30, bertanggungjawab dalam pemasaran.

Urusan logistik pula dipertanggungjawabkan kepada seorang lagi anaknya, Zaid Khalid, 19.

Dalam peralihan kepada ekonomi digital pula, Leeza dan Sobre dihantar menyertai program eUsahawan, inisiatif anjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn Bhd (MDEC) bertujuan menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selepas melalui saringan, MMI Murni Manufacturing adalah antara 50 syarikat terpilih menyertai Program eUsahawan Level Up, program dikhususkan kepada peserta usahawan mikro yang menunjukkan peningkatan prestasi perniagaan melalui laporan rekod jualan secara dalam talian.


Siti Nur Sakinah (kanan) memantau operasi pengeluaran produk di Puchong. - NSTP/Aizuddin Saad

Leeza dan Sobre menjalani program intensif dan bimbingan mentor selama enam bulan, yang mana pengisian program adalah merangkumi pengurusan perniagaan, pemasaran digital lanjutan dan bimbingan mentor daripada pengamal industri.

Selepas tamat program, Leeza dan Sobre berjaya menobatkan MMI Murni Manufacturing untuk muncul antara tiga syarikat yang menunjukkan prestasi paling cemerlang.

“Saya lihat program seperti ini membantu dalam melengkapi Leeza dan Sobre dengan pengetahuan dan skil untuk membawa syarikat ini ke tahap yang lebih tinggi, di luar sempadan.

Hari ini, minuman jenama Munira dieksport ke Vietnam. Syarikat itu juga adalah pembekal minuman kepada jemaah haji Malaysia di Makkah tahun ini.

Menyentuh cabaran yang dihadapi untuk membawa syarikat ke peringkat berikutnya, Siti Nur Sakinah berkata, modal pusingan yang tinggi dan harga mesin mahal adalah antara cabaran utama.

Antara sasaran beliau ialah untuk beralih kepada automasi sepenuhnya, menghasilkan lebih banyak produk dan mendapatkan lebih banyak pensijilan bagi memudahkan produk dieksport ke pasaran baharu.

91 dibaca
Berita Harian X