Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:02pm
Pengasas Amnelife Global Marketing Sdn Bhd, Datuk Azhar Ahmad (kanan) bersama pengasas bersama, Mohd Affendy Ahmad ketika menunjukkan produk di bawah jenama Amnelife, baru-baru ini. - Ihsan Amnelife

Amnelife perkenal minuman tambahan Walid Supreme

KUALA LUMPUR: Amnelife Global Marketing Sdn Bhd, syarikat pemasaran produk usahawan Bumiputera, berhasrat memperkenalkan dua produk baharu menjelang akhir tahun ini bagi menampung permintaan pelanggannya terhadap produk kecantikan dan kesihatan.

Pengasasnya, Datuk Azhar Ahmad, berkata ketika ini syarikat memiliki lima produk utama iaitu Detox Fiber, Giovane, Enice, Nano Stevia dan Teh Aroma merangkumi minuman kesihatan dan sumplemen tambahan.

Katanya, bagi meluaskan lagi kepelbagaian rangkaian produk, syarikat akan memperkenalkan minuman tambahan berasaskan pati burung walid iaitu Walid Supreme yang dijangka mula menjengah pasaran akhir bulan ini.

“Seterusnya, kami juga sedang dalam proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk mengeluarkan produk penjagaan muka dan kosmetik merangkumi tiga atau empat produk menjelang akhir tahun ini atau awal 2020.

“Sama seperti produk sedia ada yang mengutamakan konsep kesihatan dan kecantikan berasaskan 100 peratus bahan semula jadi, produk penjagaan muka kami juga turut menggunakan pakai bahan organik dan paling penting selamat serta berkualiti,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menampung permintaan pelanggan, syarikat juga berhasrat mewujudkan 500 pusat pengambilan barang di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Sejajar dengan sasaran keahlian Amnelife yang berkembang sehingga 5,000 ahli pada tahun ini, syarikat akan mewujudkan sekurang-kurangnya 500 ‘pick-up center’ bagi menyokong pengeluaran produk di bawah jenama Amnelife,” katanya.

Menyentuh mengenai prospek jualan kesemua produknya, Azhar berkata, syarikat optimis jualan keseluruhan syarikat mencecah RM1 juta bagi tahun kewangan 2019 disokong oleh pengeluaran dua produk baharu berkenaan.

“Kita yakin produk burung walid akan menjadi ‘produk tumpuan’ Amnelife yang mana kita lihat ia mempunyai permintaan dan potensi besar dalam segmen minuman kecantikan,” katanya.

108 dibaca
Berita Harian X