Jumaat, 15 September 2017 | 11:42pm
MUHAMMAD Nur Najmi Hashim, memeriksa barang yang dipesan ketika mengambil upah sebagai penghantar barang secara sambilan di sekitar kawasan Perlis dan juga Alor Setar. - Foto Hafizudin Mohd Safar

'Runner' RM1 sekilometer

ARAU: Ketika anak muda lain sibuk berpeleseran atau merempit, Muhammad Nur Najmi Hashim, 19, memilih cara berbeza dengan memanfaat motosikal miliknya untuk menjana pendapatan sampingan.

Memilih menjadi penghantar barang atau 'runner' penuntut Diploma Teknologi Elektronik di Kolej Vokasional Arau itu mampu menjana pendapatan tambahan, tanpa perlu lagi membebankan ibu dan bapa untuk mendapatkan wang saku.

Dengan caj unik RM1 bagi setiap kilometer lokasi penghantaran, tidak hairanlah khidmat Nur Najmi yang menggunakan motosikal jenis Yamaha LC135 itu begitu popular dalam kalangan pelanggannya.

Bermula daripada penghantaran surat, hadiah atau makanan, sehinggalah membabitkan urusan 'runner' di kanter seperti membida nombor pendaftaran kenderaan, adalah antara tugas yang biasa dilakukan Nur Najmi.


NUR Najmi mengambil upah sebagai penghantar barang secara sambilan di sekitar kawasan Perlis dan juga Alor Setar untuk mencari pendapatan. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Nur Najmi ketika ditemui berkata idea menjadi budak penghantar barang atau bermula pada empat bulan lalu selepas melihat rakan sekelasnya, Muhamad Irfan Nafis Mohamad Rafizi, menawarkan perkhidmatan berkenaan.

"Dia (Irfan) yang mengajar saya bagaimana menjadi 'runner' dan bagaimana untuk mendapatkan pelanggan...Alhamdulillah jika sebelum ini bergantung sepenuhnya pada emak dan ayah, kini tidak lagi sepenuhnya," katanya.  

Nur Najmi berkata, laman sosial terutama Facebook adalah medium yang dijadikannya sebagai pusat pengiklanan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Saya dihubungi pelanggan menerusi pelbagai saluran....ada yang mesej di Facebook, WhatsApp dan ada juga yang hubungi terus. 

"Kuasa pengiklanan di Facebook sangat luar biasa sehinggakan pelanggan saya bukan sahaja tinggal di Perlis, malah sejauh Negeri Sembilan yang menggunakan perkhidmatan saya berulang kali untuk membida nombor pendaftaran kenderaan di JPJ," katanya.


NUR Najmi menyerahkan barang yang dipesan pelanggan. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Anak kepada pasangan guru pusat memandu itu, mengakui perlu memilih barangan yang hendak dihantar pelanggan kerana bimbang tersalah 'barang' sehingga berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

"Jika barangan terbabit bersaiz besar sehingga boleh mengundang bahaya kepada saya atau pengguna jalan raya lain juga, saya terpaksa tolak," katanya.

Mengenakan caj RM1 bagi setiap kilometer, Nur Najmi berkata perkhidmatannya di negeri ini mungkin tidak akan kekal lama apabila beliau tamat pengajian nanti.

"Ia hanyalah pekerjaan bagi meringankan beban ibu bapa saya....jika saya masih belum memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, saya akan meneruskan kerja ini di kampung saya di Alor Setar, Kedah," katanya.


MUHAMMAD Nur Najmi Hashim, menghantar bungkusan makanan yang dipesan ketika mengambil upah sebagai penghantar barang secara sambilan di sekitar kawasan Perlis dan juga Alor Setar mencari pendapatan tambahan untuk wang saku bulanan. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Info:

  • Caj RM1 bagi 1 kilometer
  • Caj menunggu juga dikenakan sekiranya membabitkan urusan kaunter.
  • Badan beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamatan antara pelanggan tetapnya bagi penghantaran makanan.
Berita Harian X