Khamis, 27 Julai 2017 | 12:04am

Transformasi 'orang minyak'

BERA: Langkah seorang anak peneroka dari FELDA Tementi, dekat sini, berhenti kerja dalam sektor minyak dan gas untuk pulang ke kampung halaman bagi berbakti kepada tanah, ternyata berbaloi.

Wan Hamdan Wan Ab Habibi, 37, berkata beliau mengambil keputusan berhenti kerja dengan pendapatan lima angka selepas tujuh tahun bertugas sebagai juruteknik kanan di pelantar minyak pesisir pantai sejak 2000 kerana mahu bersama keluarga dan pada masa sama minat bertani.

Katanya, usahanya menjadi petani bermula apabila dipilih menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi, Triang, di sini, oleh Jabatan Pertanian dan pada permulaannya menanam pokok nangka di tapak seluas lapan hektar dan memperoleh pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

"Saya bersyukur jualan nangka setiap bulan lebih banyak daripada gaji yang saya terima tetapi saya mengalami kerugian akibat banjir besar pada 2007 dan 2014 yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit. Memang tertekan tetapi saya kuatkan tekad untuk bangkit semula.

"Saya kemudian menukar tanaman kepada cili dan timun menerusi kaedah fetigasi. Memang modal menyediakan teknologi berkenaan mahal tetapi menguntungkan dan lebih mudah serta menjimatkan kos untuk jangka panjang," katanya ketika ditemui BH Plus di sini.

WAN Hamdan (kanan) bersama pekerja memetik cili di ladangnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi. - Foto Nazirul Roselan

WAN Hamdan meninjau ladang cilinya yang ditanam menerusi kaedah fetigasi di ladangnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi. - Foto Nazirul Roselan

Wan Hamdan tidak menyesal dengan keputusan beralih kerjaya sebagai petani moden apabila tanamannya itu mula mengeluarkan hasil memuaskan dan kejayaannya itu turut mendorongnya menambah kepada beberapa tanaman sampingan seperti terung bulat.

"Saya menjual dan memasarkan hasil pertanian kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang kemudian menjual terus kepada pemborong, pasar raya dan kedai sekitar Bera hingga Maran.

"Memang puas hati melihat apa yang diusahakan berjaya dan membuahkan hasil. Tidak salah langkah saya berhenti kerja di sektor minyak dan gas walaupun terpaksa bermula daripada peringkat awal," katanya.

Beliau berkata, kejayaannya itu mungkin sukar dicapai tanpa bantuan pelbagai pihak seperti kerajaan yang menyediakan kemudahan tapak pertanian di TKPM dan khidmat nasihat oleh Jabatan Pertanian bagi mengusahakannya dan FAMA yang bertanggungjawab mengendalikan bahagian pemasaran.

WAN Hamdan melihat hasil cili yang ditanam secara fertigasi di ladangnya. - Foto Nazirul Roselan

WAN Hamdan di ladangnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi. - Foto Nazirul Roselan

"Kerajaan turut menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti jalan masuk ke ladang yang selesa, sistem perparitan dan saliran, sistem pengairan utama, pusat pengumpulan hasil, bekalan elektrik dan air.

"Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga banyak membantu, terutama dengan memperkenalkan 'Jihad Memerangi Orang Tengah' ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang berjaya menambah pendapatan petani," katanya.

INFO

  • - Program TKPM adalah strategi kerajaan menerusi Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan   pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi.
  • - Fokus kepada pengeluaran makanan, khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran, bertujuan mengatasi masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk pengeluaran makanan.

WAN Hamdan tidak menyesal apabila beralih kerjaya sebagai petani moden. - Foto Nazirul Roselan

Berita Harian X